Friday, December 9, 2016

Hukum memakan telur haiwan yang tak dibasuh

SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Apakah hukum seseorang yang membuat roti canai telur menggunakan telur ayam yang tidak dibasuh? Adakah ia bernajis atau sebaliknya?


JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Jika telur tersebut tidak kelihatan padanya najis seperti tahi ayam dan sebagainya maka ia dihukum suci. Berkata Imam Abu Bakar al-Dimyati, dalam syarahnya terhadap kitab Fath al-Mu`in yang bermaksud:

“Perkataan musannif ‘bahawa tidak wajib untuk membasuh zakar selepas berjimak, telur dan anak yang dilahirkan,’ bererti (barang) yang terkena lembapan faraj, sama ada lembapan itu suci atau tidak, dan kalau ia najis sekalipun ia dimaafkan, maka ia tidak menajiskan perkara-perkara yang telah disebutkan.”
Rujuk I’anah al-Talibin (1/104)

Namun jika ternampak najis pada telur itu, maka wajiblah membasuhnya. Jika tidak nampak atau disangka sahaja ada najis, maka kembali kepada hukum bahawa ia tidak bernajis.

Jawapan bagi soalan di atas, maka hukumnya suci selagi tidak ada kesan yang menunjukkan kenajisannya seperti tahi ayam. Jika terdapat najis sekalipun, namun yang dimaka ialah isinya, bukan kulitnya. Justeru, jika tiada nampak najis yang masuk ke dalam roti canai berkenaan maka hukumnya adalah suci pada asalnya. Sekalipun begitu, membasuh telur bagi memastikan kebersihan dan kesucian adalah etika yang baik dalam penyediaan makanan.

Wallahua’lam.

Monday, July 18, 2016

Bolehkah gabungkan niat qadha puasa Ramadhan dengan puasa 6?

Bolehkah kita menggabungkan puasa qada’ Ramadhan dengan puasa Syawwal 6?

Boleh. Hendaklah niat qada’ puasa dahulu dan digabungkan dengan niat puasa sunat yang lain.

Ikuti ulasan oleh Ustaz Syed Fadzli al-Yamani.



Thursday, May 5, 2016

Kemusykilan Rukun Solat ‘NIAT’

Soalan:  Assalamualaikum.
Ketika solat, Adakah batal solat jika saya ter’niat’ untuk melakukan sesuatu selepas selesai solat?
Wassalam

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Jika seseorang terlintas dihatinya ketika solat untuk melakukan sesuatu perkara setelah solat, perkara tersebut tidak membatalkan solat yang dikerjakannya. Namun, perkara tersebut membantutkan mutu khusyuk yang sepatutnya diperolehinya di dalam solat.
Menghadirkan hati di dalam solat bermaksud seseorang itu khusyuk kepada Allah taala walaupun sebentar. Sesiapa yang tidak khusyuk di dalam solatnya walaupun sekejap (sesaat) di dalam solatnya, solatnya sah namun dia tidak memperolehi sebarang pahala. Allah taala berfirman di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2 :
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ * ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
Yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
Khusyuk adalah pekerjaan hati yang boleh dicapai dengan sebab-sebab tertentu berdasarkan kehendak Allah. Antara sebab seseorang itu dapat khusyuk di dalam solat adalah dengan memperbanyakkan ingat kepada kematian terutamanya ketika hendak mengerjakan solat. Dia mengatakan di hatinya : “ mudah-mudahan solat yang aku kerjakan ini adalah solat yang terakhir buat diriku. Mungkin aku tidak akan hidup lagi setelah ini.” Dengan ini, hatinya menjadi takut kepada Allah taala. Di sebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya :
أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ الْمَوْت
Yang bermaksud, “Perbanyaklah kamu mengingati pemutus kelazatan yaitu kematian”.
Khusyuk bermaksud menghadirkan rasa takut kepada Allah taala atau menghadirkan di dalam hati rasa kasih kepadaNya serta mengagungkanNya.
Berhubung dengan soalan saudara lagi, saudara hendaklah membezakan dua perkara yang sering kali disalah ertikan oleh sebahagian orang iaitu niat dan lintasan.
Niat (النية) bermaksud sesuatu yang datang di hati seseorang dengan kehendaknya sendiri.
Manakala lintasan(الخاطر) pula, ia datang dalam hati seseorang tetapi bukan dengan kehendak di hatinya.
Ada ketikanya niat seseorang boleh memudaratkan solat dan menyebabkan solatnya terbatal.
Menurut Syeikh Abdullah al-Harari al-Habasyi dalam kitabnya Bughyah al-Thalib,jilid 1, halaman 258 :
Sesiapa yang berniat di dalam hati untuk berhenti daripada mengerjakan solat secara serta merta atau setelah berlalu selama 1 rakaat misalnya, maka batallah solatnya. Begitu juga batal solat orang yang mengantungkan niat untuk memberhentikan solat dengan sesuatu perkara seperti dia mengatakan di dalam hatinya : “ Jika berlaku begini, aku akan hentikan solat” sesungguhnya solat orang tersebut menjadi batal serta merta. Begitu juga jika ada niat yang berbelah bahagi seperti dia kata dalam hatinya “ Adakah aku mahu menghentikan solat atau atau aku mahu teruskannya!”, sesungguhnya perkara tersebut membatalkan solat. Hukum-hakam yang kita sebut disini bukan berhubung dengan orang yang semata mata terlintas di hatinya bahkan ia berkait dengan apa yang datang di hati kehendak seseorang itu sendiri (niat bukan lintasan semata-mata)”.
والله أعلم وأحكم