Friday, June 30, 2017

Hukum bermesraan isteri ketika haid

IRSYAD AL-FATWA KE-197 : HUKUM BERMESRAAN DENGAN ISTERI KETIKA HAID
"Para ulama Syafieyyah bersepakat tentang pengharaman persetubuhan ketika haid dan mubasyarah (bermesraan) dengan syahwah tanpa memakai lapik penghalang, seperti seluar, kain dan lain-lain. Mereka jua sepakat bahawa memandang bahagian tubuh isteri atau suami antara pusat dan lutut adalah harus jika dilakukan tanpa syahwat.
Namun mereka berbeza pendapat dalam perkara berikut..."
Ikuti kupasan lanjut di laman rasmi PMWP: https://goo.gl/fD83hP

Hukum menjaga lembu yang tidak diketahui pemilik

AL-KAFI LI-AL FATAWI #627 : HUKUM MENJAGA LEMBU YANG TIDAK DIKETAHUI PEMILIK
25 MEI 2017 BERSAMAAN 28 SHA'BAN 1438H
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, saya ada memelihara seekor lembu yang tidak diketahui pemiliknya. Apa yang patut saya lakukan ? Saya telah membela lembu tersebut selama setahun lebih.
Jawapan:
Berkenaan isu seumpama ini, tidak dinafikan yang ianya pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid R.A beliau menceritakan bahawa telah datang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W berkenaan seorang yang terjumpa kambing yang hilang atau tersesat. Lalu baginda menjawab ...
Baca artikel penuh di pautan berikut https://goo.gl/rXdsf4

Tuesday, June 27, 2017

Hukum ibu menziarahi anak ketika sakit ketika tempoh berkabung

AL-KAFI #626 : HUKUM IBU MENZIARAHI ANAK YANG SAKIT KETIKA WAKTU BERKABUNG
Soalan:
Assalamulaikum wbt,
Apakah hukum seorang ibu menziarahi anaknya yang hendak dibedah di hospital sedangkan dia baharu kematian suaminya dan berada dalam tempoh ihdad (berkabung)?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Berkata Imam al-Qadhi Abu Syuja`:
وعلى المتوفى عنها زوجها والمبتوتة ملازمة البيت إلا لحاجة
Maksudnya: Ke atas wanita yang kematian suaminya dan yang ditalak bain, wajib tinggal di rumah dan tidak keluar melainkan dengan hajat.
Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini:
“Penyusun matan (yakni Qadhi Abu Syuja`) menggunakan kalimah hajat untuk memberitahu bahawa keperluan yang bersifat darurat lebih lagi utama untuk pengecualian, seperti keluar kerana takut risiko kebinasaan dan kerosakan terhadap dirinya, atau terhadap hartanya, atau terhadap anaknya daripada kebinasaan dan lemas, maka harus baginya untuk berpindah kerana darurat yang menuntutnya kepada itu, dan haram keluarnya dia tanpa hajat seperti keluar untuk menziarahi (orang sakit), mengunjungi sahabat handai, dan berniaga.”
Rujuk Al-Iqna’ (2/473)
Kami berpendapat bahawa tidak harus bagi ibu tersebut untuk menziarahi anaknya yang sakit kerana dia masih dalam tempoh iddah dan ihdad. Namun begitu, jika kehadiran ibu itu boleh membantu kesembuhan anak tersebut, atau ibu tersebut menjaga anaknya di saat orang lain tidak boleh menjaganya, maka bolehlah ibu itu keluar daripada rumahnya untuk menjaga kemaslahatan anaknya. Hendaklah hajatnya itu diselesaikan pada waktu siang supaya dia boleh balik dan tidur di rumah pelamin pada waktu malam. Jika tiada hajat dan darurat, seperti semata-mata ziarah, maka wajiblah si ibu itu menetap di rumah pelaminnya kerana menjaga hak ihdad dan iddah itu adalah hak Allah yang tidak boleh bermudah untuk dicuaikan
Rujuk Bayan Linnas Siri 61: Calon Wanita Berkempen Untuk Pilihanraya Dalam Keadaan ‘Iddah untuk kupasan yang lebih teliti.
Pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/ObDy0c

Sunday, June 25, 2017

Hukum menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia?

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #84: HUKUM MENGGANTIKAN PUASA BAGI YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
Soalan:
Apakah hukumnya menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia? Orang yang telah meninggal dunia tersebut ketika hayatnya masih ada baki-baki qadha’ puasa yang belum dilunaskan namun telah meninggal dunia terlebih dahulu.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bagi persoalan di atas, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib keatasnya sesuatupun dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.[1]
Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.
Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.[2]
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?. Jawab Nabi SAW:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.
Riwayat Abu Daud (3310)
Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.[3]
Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
24 Mei 2017 bersamaan 27 Sya`ban 1438H
________________
[1] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/201.
[2] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, 8/23.
[3] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/202.
*pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/LXLE8L

Sunday, June 18, 2017

Apakah hukum merasa makanan ketika berpuasa?

Apakah hukum merasa makanan?

JAWAPAN
Merasa makanan adalah dibolehkan dengan dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih. Situasinya adalah seperti tukang masak atau surirumah yang sedang memasak di dapur. Ibn Abbas R. Anhuma berkata:
لاَبَأْسَ أَنْ يَذُوْقَ الخَلَّ أَوْالشَّيْءَ مَالَمْ يَدْخُلْ حَلْقَهُ وَهُوَصَائِمٌ
““Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa mencicipi cuka atau sesuatu, selama tidak masuk sampai ke kerongkong.
Ini hendaklah dalam kuantiti yang sedikit. Namun, tidak boleh menelannya kerana jika ditelan masuk bersama air liur, batallah puasanya. 

Saturday, June 17, 2017

Apakah terdapat doa berbuka puasa daripada hadith?

Irsyad al-Hadith siri Ke-195: Doa Berbuka Puasa
Soalan: Apakah terdapat doa berbuka puasa daripada hadith?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, kita dituntut di dalam agama untuk sentiasa berdoa kepada Allah walaupun ketika makan. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Terdapat satu hadith di dalam Sunan Abi Daud:
• Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa):
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: "Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah". [Riwayat Abu Daud (2357)][Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah hasan]
Menurut Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar, makna “الظَّمَأُ” di dalam hadith di atas adalah dahaga. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ
Maksudnya: “Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga”. [Lihat: al-Taubah:120]
Tambahan pula, terdapat satu lagi doa yang masyhur dalam masyarakat kita apabila hendak berbuka adalah:
• Daripada Muaz bin Zuhrah, telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda apabila hendak berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka”. [Riwayat Abu Daud (2358)] [Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar menghukum hadith ini sebagai mursal iaitu sanadnya terputus iaitu nama sahabat gugur di dalam sanad hadith ini]
Kami berpandangan bahawa setiap orang boleh dibolehkan berdoa dengan apa jua doa selagimana maksud atau makna doa itu tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan hadith Nabi SAW tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Akan tetapi, jika ingin dilihat dari sudut status hadith, doa yang pertama lebih sahih dari sudut sanadnya berbanding hadith yang kedua.
Di sini kami sertakan beberapa lagi lafaz doa yang dinukilkan oleh Ibn Sunni di dalam kitabnya. Antaranya adalah:
• Daripada Muaz bin Zuhrah, adapun Rasulullah SAW bersabda apabila hendak berbuka:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَعَانَنِي فَصُمْتُ، وَرَزَقَنِي فَأَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah membantuku maka disebabkan itu aku telah berpuasa dan Dia telah memberi rezeki kepadaku maka aku berbuka dengannya”. [Lihat: Amal al-Yaum wa al-Lailah (479)] [Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah mursal kerana Muaz bin Zuhrah tidak mendengar langsung daripada Nabi SAW]
• Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda ketika berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”. [Lihat: Amal al-Yaum wa al-Lailah (480)] [Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah dhaif]
• Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka beliau bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang mana meliputi semua perkara agar Engkau ampunkan aku”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
Penutup
Kesimpulannya, kita dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menghadapi dan menyempurnakan bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/v5wYXa

Friday, June 16, 2017

Doa Orang Berpuasa Mustajab

Irsyad al-Hadith siri Ke-196: Doa Orang Berpuasa Mustajab
Soalan: Apakah benar dakwaan yang menyatakan bahawa doa orang yang berpuasa mustajab?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Di samping itu, di dalamnya tersedia berbagai jenis tawaran-tawaran dan keistimewaan yang perlu kita kecapi. Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan sedemikian:
• Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
• Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [Riwayat Ibn Majah (1752)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan]
• Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. [Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]
Melihat kepada hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah SWT. Ini kerana, orang yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa kerana mereka berpuasa kerana Allah SWT. Tambahan pula, Allah SWT amat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa berdoa memohon kepadanya dalam apa jua keadaan. Untuk itu, kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT perlu mengambil kesempatan ini dalam mengecapi tawaran yang berharga ini.
Penutup
Kesimpulannya, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Akhirnya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT terutama di bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemulian ini. Di samping itu, kita juga boleh memasukkan nama-nama Allah SWT yang agung di dalam setiap doa kita agar doa-doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT sebagaimana yang kami telah jelaskan pada artikel sebelum ini. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/DJauMS

Thursday, June 15, 2017

Hukum suami menggunakan mas kahwin isteri

IRSYAD AL-FATWA KE-198 : HUKUM SUAMI MENGGUNAKAN MAHAR YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA ISTERI
“Majoriti fuqaha’ menyatakan bahwa suami tidak boleh mengambil manfaat (menggunakan) apapun yang dimiliki isteri seperti katil, wadah, dan lain-lain tanpa persetujuan isteri, samada harta itu hasil pemberian suami atau pemberian daripada orang lain, samada isteri menerima mahar atau tidak. Isteri berhak menggunakan harta yang dimilikinya sesuka hatinya samada untuk bersedeqah, memberi hadiah atau tukar-menukar, selagi ia tidak membawa kepada kemudaratan.”
Ikuti penjelasan lanjut di laman rasmi PMWP: https://goo.gl/NDSRdk

Wednesday, June 14, 2017

Solat bagi pesakit strok

AL-KAFI LI AL-FATAWI #629: SOLAT BAGI PESAKIT STROK
Soalan: Saya ada ibu mertua yang berusia 88 tahun. 2 bulan lepas dia terkena strok dan ingatannya sekejap ok dan sekejap tidak. Adakah wajib ke atasnya solat?
Jawapan: Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan solat juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak oleh Allah SWT. Untuk itu, kita tidak boleh mengambil mudah dalam isu solat ini. Antara syarat sah dan wajib solat adalah: [Lihat: al-Muktamad, 199]
• Islam
• Baligh
• Berakal (waras)
• Suci daripada hadas
Berakal merupakan salah satu syarat wajib bagi solat kerana hukum-hukum syara’ berkaitrapat dengan akal. Untuk itu, tidak wajib solat bagi orang yang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka telah hilang. Ini dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar”. [Riwayat Abu Daud (4403)]
Para ulama’ mengqiyaskan setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang yang gila samada dalam tempoh masa yang sekejap atau lama. Jika ia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir) maka wajib baginya solat. Akan tetapi, tidak wajib dia mengqadha’kan solat dalam tempoh tersebut (hilang akal). [Lihat: al-Muktamad, 155]
Kesimpulannya, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat solat tidak gugur dan wajib ditunaikan ketika ingatannya itu dalam keadaan baik. Namun, jika ingatannya dalam keadaan tidak baik maka solat pada waktu itu tidak wajib ditunaikan dan tidak perlu diqadha’ solat yang ditinggalkan ketika itu.
Untuk itu, suka bagi kami untuk membuat pembahagian bagi orang yang hilang akal kepada dua bahagian:
• Tempoh lama: Jika seseorang itu hilang akalnya dalam tempoh yang lama mengikut uruf maka pada waktu itu tidak wajib baginya untuk solat dan tidak wajib dia mengqadhakan solat yang ditinggalkan dalam tempoh tersebut. Namun, jika dia sedar dan masih berbaki waktu solat maka wajib baginya menunaikan solat pada waktu yang berbaki.
• Tempoh yang sekejap: Jika seseorang itu hilang akalnya dalam tempoh yang sekejap dan tempoh ini diukur dengan uruf. Maka dia wajib solat yang mana waktunya masih berbaki dan sebaik-baiknya dia mengqadhakan solat yang ditinggalkan dalam tempoh tersebut jika hal tersebut tidak menyukarkannya.
Akhirnya, semoga Allah SWT menyembuhkan penyakit pesakit berkenaan serta mengurniakan kita semua kesihatan yang baik agar dapat kita meneruskan amal ibadah seharian dengan sempurna. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/KYL8Ok

Tuesday, June 13, 2017

Minum Air Ketika Azan Fajar Ramadhan

Irsyad al-Hadith siri Ke-197: Minum Air Ketika Azan Fajar
Soalan: Apakah terdapat hadith dibolehkan menghabiskan air atau makanan yang ada di dalam mulut ketika azan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berkaitan soalan di atas, memang terdapat isyarat daripada hadith Nabi SAW akan hal tersebut. Akan tetapi, kemungkinan berlaku salah faham oleh sebahagian orang berkaitan maksud sebenar hadith tersebut. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini cuba untuk menjelaskan maksud sebenar hadith yang dimaksudkan di atas.
Matan Hadith
Hadith yang dimaksudkan adalah:
• Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendengar seruan (azan) dan bekas berada di tangan kamu, maka janganlah kamu meletaknya (bekas) sehingga sempurna hajatnya daripada itu”. [Riwayat Abu Daud (2350)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum hadith sebagai sahih]
Makna Hadith
Imam al-Khattabi di dalam kitabnya mengatakan bahawa Bilal azan pada waktu malam maka makan dan minumlah sehingga diazan oleh Ibn Ummi Maktum atau makna hadith ini adalah seseorang mendengar azan tetapi dia syak pada waktu subuh (sudah masuk atau belum waktu subuh). Contohnya, pada hari tersebut cuaca sedikit mendung atau berawan maka dia tidak mengetahui berdasarkan pengetahuan (pemerhatiannya) bahawa fajar (fajar sodiq) sudah terbit kerana pada pengetahuannya dalil kemasukan Fajar tidak jelas. Jika terzahir pada muazzin sepatutnya terzahir padanya juga. Adapun jika seseorang itu mengetahui masuknya subuh maka dia tidak lagi berhajat kepada bunyi kokokan ayam kerana dia dituntut untuk menahan daripada makan dan minum apabila terbit padanya benang putih (cahaya siang atau fajar) daripada benang hitam (kegelapan malam). [Lihat: Ma’alim al-Sunan, 106/2]
Akan tetapi di dalam mazhab al-Syafie, sesiapa yang makan dalam keadaan dia tidak yakin (zhan) bahawa fajar telah masuk sedang pada waktu itu fajar telah masuk atau dia menyangka bahawa matahari sudah terbenam sedangkan hakikatnya belum lagi terbenam maka dia berbuka, wajib baginya untuk qadha’ kerana dikira melebihi had dan Umar RA memerintahkan untuk berpuasa sehari pada tempat yang dia berbuka itu. [Lihat: al-Muktamad, 181/2]
Di sini timbul satu persoalan, benarkah pada zaman Nabi SAW diazan azan subuh dua kali?
Perkara ini ada disebut dan diisyaratkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, hadith tersebut diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ بِلاَلًا يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam maka makan dan minumlah sehingga diseru (azan) oleh Ibn Ummi Maktum”. [Riwayat al-Bukhari (620) dan Muslim (1092)]
Hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan azan subuh sebelum terbitnya fajar dan padanya juga dibolehkan makan, minum, bersetubuh dan lain-lain perkara sehingga terbitnya fajar. Di samping itu, hadith ini menunjukkan dibolehkan azan oleh orang yang buta. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan azan dua kali pada waktu subuh. Satunya diazan sebelum fajar dan satu lagi diazan selepas terbitnya fajar iaitu pada permulaan terbitnya fajar. [Lihat: al-Minhaj, 202/7]
Penutup
Kesimpulannya, sebaik-baiknya bagi seorang yang beriman kepada Allah dan rasul perlulah berhenti sebelum azan subuh dilaungkan bagi mengambil langkah berhati-hati. Akhirnya, semoga kita dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna serta terus beristiqamah dalam apa jua ibadah yang dilakukan di dalam bulan yang mulia ini. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/ZameS9

Sunday, June 11, 2017

Apakah bacaan yang disunnahkan di dalam solat sunat witir?

Irsyad al-Hadith siri Ke-199: Bacaan Di Dalam Solat Witir
Soalan: Apakah bacaan yang disunnahkan di dalam solat sunat witir?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Solat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut di dalam agama kita. Di dalam Mazhab al-Syafie, disunatkan kita solat sunat witir secara berjemaah di bulan Ramadhan. Ini kerana, ia mempunyai kelebihan yang besar sebagaimana yang dinyatakan di dalam beberapa buah hadith, antaranya:
• Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ
Maksudnya: “Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam maka hendaklah dia bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal”. [Riwayat Muslim (755)]
Tambahan pula, Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar melazimi solat sunat witir sebelum beliau melelapkan mata. Ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah RA:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Kekasihku (iaitu Muhammad SAW) mengingatkanku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur”. [Riwayat al-Bukhari (1981)]
Bacaan Di Dalam Solat Sunat Witir
Antara bacaan di dalam solat sunat witir berdasarkan hadith Nabi SAW adalah:
• Daripada Abdurrahman bin Abza RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَنَّهُ كَانَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَإِذَا سَلَّمَ قَالَ: سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، وَرَفَعَ بِهَا صَوْتَهُ
Maksudnya: “Nabi SAW membaca di dalam witir “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى”, “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” dan “قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”. Apabila Baginda SAW memberi salam, Baginda SAW bersabda: “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ”, “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ”, “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ” dalam keadaan Baginda SAW mengangkat suaranya ketika membacanya”. [Riwayat Ahmad (15354)][Hadith ini sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim berdasarkan penilaian Syeikh Syuaib al-Arna’outh]
Berdasarkan hadith ini, kita memahami bahawa Nabi SAW membaca surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas di dalam solat witir Baginda SAW. Selain itu juga, di dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa Nabi SAW membaca surah al-Ikhlas, al-‘Alaq dan juga al-Nas pada rakaat terakhir solat sunat witir. Ini dinyatakn di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:
Aisyah RA ditanya berkenaan bacaan Nabi SAW di dalam solat sunat witir. Lalu Beliau menyatakan:
كَانَ يَقْرَأُ فِي الأُولَى: بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى، وَفِي الثَّانِيَةِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ، وَفِي الثَّالِثَةِ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَالمُعَوِّذَتَيْنِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca pada rakaat pertama “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى”. Manakala pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ” dan pada rakaat ketiga “قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ” berserta “المُعَوِّذَتَيْنِ” (iaitu surah al-‘Alaq dan al-Nas)”. [Riwayat al-Tirmizi (463)][Hadith ini dinilai Hasan Gharib oleh Imam al-Tirmizi]
Antara perkara yang sunat dilakukan selepas solat sunat witir adalah mengucapkan “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ” sebanyak tiga kali. Ini kerana ia dilakukan oleh Rasulullah SAW dan terdapat penambahan di dalam satu riwayat bahawa Nabi SAW meninggikan suaranya pada kali yang ketiga. Setelah itu, Baginda SAW berdoa:
اللهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, aku berlindung dengan redha-Mu daripada kemarahan-Mu, aku berlindung dengan kesejahteraan-Mu daripada hukuman-Mu dan aku berlindung dengan-Mu daripada tindakan-Mu, tiada daya aku ini untuk menghitung pujian kepada-Mu, Engkau itu wahai Allah sepertimana yang Engkau puji diri-Mu ”. [Riwayat Muslim (486)] [Lihat: al-Muktamad Dalam Mazhab al-Syafie, 374/1]
Penutup
Kesimpulannya, solat sunat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk kita amalkan dan laziminya dalam kehidupan seharian kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kebaikan dan ibadah kita di dalam bulan yang mulia ini. Amin.
Wallahua'lam
Pauatan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/wlp0we

Friday, June 9, 2017

Hukum wanita memakai wangian 'perfume'

IRSYAD AL-FATWA KE-199: HUKUM WANITA MEMAKAI WANGI-WANGIAN (PERFUME)
Soalan:
Apakah hukumnya bagi wanita memakai minyak wangi kemudian keluar ke rumah untuk bekerja, ke pasar dan sebagainya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.
Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126). Hadis ini dinilai sebagai hasan.
Al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147]
Baca selanjutnya...https://goo.gl/FvubW3

Cara menyucikan telefon bimbit yang terkena najis?

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-200 : CARA MENYUCIKAN TELEFON BIMBIT YANG DITIMPA NAJIS
Soalan:
Salam Dr. Bagaimanakah cara bersihkan handphone yang terkena najis sedangkan peralatan sebegitu tak boleh kena air. Apakah memadai sekadar dengsn renjisan air dan mengelapnya?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Pendapat Ulama Tentang Menyucikan Besi yang Berkilat
Isu menyucikan telefon bimbit yang terjatuh ke dalam najis yang cair adalah isu baharu yang memerlukan perhatian. Kami melihat kes yang paling dekat yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh adalah penyucian bahan-bahan berkilat seperti pedang dan cermin dengan menyapunya. Kami nyatakan pendapat para ulama tentang hal itu.
Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut: “Jika najis terkena pada sesuatu yang berkilat seperti pedang, pisau dan cermin dan seumpamanya, tidak boleh disucikan dengan sapuan dan tiada yang boleh menyucikannya melainkan dengan basuhan jua seperti bahan-bahan lain. Inilah juga adalah pendapat Ahmad dan Daud manakala Malik dan Abu Hanifah berkata ia disucikan dengan sapuan.”
Rujuk al-Majmu` (2/599)
Imam al-Zailaie Rahimahullah daripada ulama Hanafiyyah menghuraikan: “Hukum pedang yang diperbuat daripada besi yang berkilat sama hukumnya seperti cermin dan pisau. Jika menjadi mutanajjis, ia disucikan dengan sapuan. Ini seperti mana kisah yang sahih bahawa para sahabat Rasulullah SAW, mereka membunuh orang kafir (harbi dalam peperangan) dengan pedang-pedang mereka, kemudian menyapunya dan bersolat dengannya. Ini kerana membasuh (dengan air) akan pedang dan cermin (besi) dan bahan yang seumpamanya akan merosakkannya (seperti karat dan lain-lain). Maka dalam kes ini ada darurat.”
Rujuk Tabyin al-Haqa’iq (1/72)
Hukum Telefon Yang Terkena Najis
Justeru, pendapat kedua menuntut agar dibasuh bahagian yang terkena najis dan tidak merosakkan telefon dan disapu dengan kain atau seumpamanya yang boleh menghilangkan ain najis tetapi tidak boleh dibasuh kerana akan merosakkan atau ditakuti akan merosakkannya, dengan kain sehingga kering dan boleh dibawa solat.
Manakala bagi pendapat pertama, telefon berkenaan masih boleh digunakan tetapi tidak boleh dibawa solat. Maka diletakkan telefon tersebut di tempat lain, atau berdekatan dengan tempat solat tanpa terkena pada badan ketika solat.
Kesimpulan
Kami cenderung kepada pendapat yang pertama bertepatan dengan mazhab al-Syafie. Pun begitu, ada beberapa pilihan dan kaedah yang masih boleh dipertimbangkan.
Pertama, jika telefon jatuh ke tempat najis, contohnya ke lubang jamban, kemudian segera dicuci dengan air pada bahagian luar. Ini kerana telefon bimbit berbeza kadar ketelapan dan kalir airnya. Ada telefon yang senang dimasuki air dan ada yang sukar bahkan kalis air. Jika ada baki air yang keluar daripada soket atau telefon itu yang tidak memiliki sifat najis seperti bau, warna dan rasa, maka dianggap suci. Jika baki tersebut bersifat dengan najis, maka dihukum najis. Ini kerana yang diyakini terkena najis itu adalah bahagian luar sedangkan bahagian dalamnya bergantung pada binaan telefon tersebut.
Kaedah ini berdasarkan hukum harus tetapi makruh menggunakan perkakas orang yang bukan Islam yang diketahui tidak menjaga soal taharah atau kebiasaan mereka bermuamalah dengan najis seperti orang Majusi yang membasuh perkakas mereka dengan air kencing lembu. Ini kerana hukum asal bahawa bekas itu suci mendahului hukum kebiasaan yang berbentuk anggapan semata-mata.
Rujuk al-Iqna’ (hal. 49) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini Rahimahullah.
Samalah juga hukum mendukung bayi ketika solat. Sah solat jika tidak zahir ciri-ciri najis pada pakaian bayi itu ketika didukung. Ini kerana sekalipun hukum kebiasaan bayi itu adalah tidak mampu menjaga diri daripada najis lantaran belum mumayyiz, tetapi hukumnya kembali kepada hukum asal berdasarkan apa yang zahir di sisi orang yang solat.
Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Maka setiap pakaian yang tidak diketahui siapa yang menenunnya adakah Muslim, musyrik, penyembah berhala, majusi, ahli kitab, atau pakaian berkenaan dipakai oleh salah seorang daripada mereka, atau bayi, maka hukumnya adalah suci sehingga diketahui kenajisannya. Begitu juga pakaian bayi itu, kerana Rasulullah SAW pernah solat sambil mendukung Umamah binti Abi al-As sedangkan dia adalah bayi perempuan yang memakai pakaian bayi (yang kebiasaannya bernajis seperti lampin)
Rujuk al-Umm (1/72)
Imam al-Syirazi Rahimahullah menyebut: “Maka jika seseorang yang bersolat itu menanggung benda hidup yang suci ketika solat maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah bin Abi al-As ketika solat. Ini kerana najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang solat itu.”
Imam al-Nawawi mensyarahkan: “Jika seseorang itu menanggung benda hidup yang suci tiada najis pada zahirnya ketika solat maka sah solatnya tanpa khilaf.”
        Rujuk al-Majmu` (3/150)
Begitu juga kaedah yang Rasulullah SAW anjurkan setelah beristinja’ disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh diihtimal (diambilkira) bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Daripada al-Hakam bin Sufyan (atau Sufyan bin al-Hakam):
رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW kencing lalu merenjiskan air pada kemaluannya.”
Riwayat Ahmad (23470), Abu Daud (167), Hakim (609), al-Nasaie (135) dan lain-lain.
Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secebuk air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was seperti yang disebut oleh al-Ruyani dan selainnya. Datang hadis yang sahih pada ciri-ciri sunat fitrah yakni perbuatan merenjis ini.”
Rujuk al-Majmu` (2/112)
Bahkan dalam hadis lain, Rasulullah SAW meminta wanita yang berhaid untuk meletakkan pewangi berdekatan dengan alat sulit wanita untuk menghilangkan bau najis darah. Daripada Aisyah R.Anha, sabda baginda:
خُذِي فِرْصَةً مِنْ مَسْكٍ، فَتَطَهَّرِي بِهَا
Maksudnya: “Ambil sedikit kasturi dan bersucilah dengannya.”
Riwayat al-Bukhari (314) dan Muslim (332)
Keduanya, jika diyakini air mutanajjis sudah masuk ke dalam telefon bimbit, boleh juga dikeringkan terlebih dahulu (dijemur, menggunakan pengering rambut, dll) sehingga hilang warna, bau dan rasa, setelah dimatikan telefon. Kemudian, dengan berhati-hati, disembur air mutlak pada tempat-tempat yang ditimpa najis untuk menyucikannya. Sebaiknya berbincang dengan juruteknik yang membaik pulih untuk membantu.
Semoga Allah memberikan kita ilmu yang mendalam dalam agama.
Wallahua’lam.

Sumber asal : https://goo.gl/i94Jpy

Berkumur degan mouth-rinsing gargle ketika berpuasa?

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE #91 : BERKUMUR DENGAN MOUTH-RINSING GARGLE
Soalan: Apakah batal puasa sekiranya saya berkumur secara gargle mengunakan ubat kumur?
Jawapan: Dalam hal berkumur-kumur menggunakan mouth-rinsing gargle seperti ubat kumur misalnya, kami melihat ianya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai kepada had batin bagi rongga mulut iaitu makhraj huruf al-ha’ (الهاء). Kaedah berkumur-kumur secara gargling hanya melibatkan sekitar had zahir iaitu makhraj huruf al-kha’ (الخاء). Pun begitu, kami tidak menggalakkannya jika tidak keperluan.
Klik untuk ke laman web PMWP bagi perbahasan lanjut: https://goo.gl/SdL2EY

Rawatan memutihkan gigi di siang hari Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE #92: RAWATAN MEMUTIHKAN GIGI DI SIANG HARI RAMADHAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Rawatan pemutihan gigi atau bleaching adalah rawatan mengilatkan gigi yang telah kuning atau pudar warnanya samada vital bleaching atau non vital bleaching. Hukum bagi rawatan memutihkan gigi adalah harus dan dibolehkan selama mana tidak menelan air semasa proses rawatan.
Ini adalah berdasarkan pandangan Keputusan Majma’ al-Fiqhi al-Islami [No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] yang menjelaskan bahawa perkara berikut tidak membatalkan puasa:
“Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.”
Hal ini juga bertepatan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang menyebut:
“Perkara-perkara yang berkaitan rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah…Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.” (Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 6)
Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
3 Jun 2017 bersamaan 8 Ramadhan 1438H
Pautan ke laman web PMWP: https://goo.gl/LivMmD

Puasa bagi pesakit HIV/AIDS

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE #93 : BAGAIMANAKAH PUASA BAGI PESAKIT HIV/AIDS?
"Berdasarkan definisi dan fakta tentang HIV/AIDS di atas, pesakit boleh dikategorikan sebagai pesakit yang menghidapi penyakit yang tidak boleh sembuh jika berpuasa daripada memakan ubat pada waktu siang akan menambahkan virus dan mengurangkan sistem ketahanan badan.
Namun jika berpuasa tidak menyebabkan penyakit bertambah buruk kerana pengambilan ubat boleh dijadualkan pada waktu sahur dan waktu berbuka, maka pesakit HIV/AIDS berkenaan tetap wajib berpuasa."
Sambung bacaan anda di laman rasmi PMWP: https://goo.gl/o1lEYc

Apakah dalil disunatkan membaca qunut di dalam witir pada 15 akhir Ramadhan?

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-200: QUNUT WITIR DI BULAN RAMADHAN
Soalan: Apakah dalil disunatkan membaca qunut di dalam witir pada 15 akhir Ramadhan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud:
عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ...
Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…”. [Riwayat al-Tirmizi (464)]
Di dalam mazhab al-Syafie, disunatkan kepada imam atau orang yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir dan ia dibaca pada 15 malam terakhir bulan Ramadhan. [Lihat: al-Muktamad, 1/309]
Doa Qunut
Ini adalah bacaan bagi doa Qunut sebagaimana yang terdapat di dalam Sunan Abi Daud:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu, sihatkan diriku di kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan. Tolonglah daku di kalangan mereka yang mendapat pertolongan-Mu. Berkatilah nikmat yang engkau kurniakan kepadaku. Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan. Sesungguhnya Engkaulah penentu dan tiada sesiapa yang berkuasa ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci lagi yang Maha Tinggi”.
Tambahan pula, disunatkan juga membaca selawat kepada Nabi SAW selepas daripada membaca doa di atas sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi RA di dalam al-Azkar. Selain itu, disunatkan kepada orang yang bersolat bersendirian atau imam jika mereka ingin memanjangkan bacaan doa qunut dengan membaca doa qunut Umar bin al-Khattab RA yang panjang dan kami nyatakan sebahagiannya dan doa ini juga terdapat di dalam kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi RA:
اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْلَعُ مَنْ يَفْجُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد، ولَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُد...
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon pertolongan kepada-MU, kami memohon ampun kepada-Mu dan kami tidak mengkufuri-Mu, kami beriman dengan-Mu dan kami membenci sesiapa yang menderhakai-Mu. Ya Allah Ya Tuhan kami, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya untuk-Mu kami bersolat dan bersujud…”.
Penutup
Kesimpulannya, kami menutup perbahasan ini dengan sebahagian kata-kata imam al-Nawawi RA bahawa jika seseorang itu berdoa dengan apa-apa doa samada dengan satu ayat atau beberapa ayat daripada al-Qur’an yang merangkupi erti doa maka dia telah berqunut. Akan tetapi, yang lebih afdhal adalah membaca doa berdasarkan apa yang terdapat dan diajar di dalam sunnah Nabi SAW. Ini kerana, seseorang imam itu perlulah melihat makmumnya terlebih dahulu sebelum memanjangkan bacaan doa agar tidak memudharatkan orang yang berimamkannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima semua amalan kita di dalam bulan yang mulia ini serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/f1c1E0