SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Saya mempunyai harta yang wajib atasnya zakat sejak 20 tahun dahulu tetapi saya tidak pernah menunaikan zakat. Sekarang ini, saya sudah jatuh bankrup. Adakah saya dikira berhutang bagi zakat yang saya tidak bayar selama 20 tahun itu?
Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
KEDUDUKAN ZAKAT DALAM SISTEM EKONOMI ISLAM
Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.
Firman Allah SWT:
وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
(Surah al-Dzariyat, 51:19)
Zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial, iaitu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.
مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Hasyr, 59:7)
Manakala kedudukan zakat itu adalah dari rukun-rukun Islam yang lima. Ia adalah rukun yang ketiga selepas syahadatain dan solat. Dalam sabda Baginda SAW yang masyhur:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”
Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
Begitu juga Rasulullah SAW telah mengambil bai’ah ke atas sahabat, seperti kata Jabir bin Abdullah RA:
بَايَعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم عَلَى إِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالنُّصْحِ لِكُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: Aku telah berbai’ah kepada Nabi SAW untuk mendirikan solat, menunaikan zakat dan memberikan nasihat buat setiap muslim.
Riwayat al-Bukhari (1401)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) Rhm mengatakan bahawa bai’ah Islam itu tidaklah sempurna dengan beriltizam menunaikan zakat dan manakala mereka yang enggan membayarnya membuatkan terbatalnya bai’ah tersebut. Ini jelas menunjukkan keutamaan berzakat yang mana jika enggan menunaikannya, boleh menyebabkan terbatalnya iman. Lihat Fath al-Baari (3/267).
Sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.”
Riwayat Muslim (2588)
Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun, sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka.
Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan, sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat),supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).
(Surah al-Taubah, 9: 103)
HUKUM BERZAKAT
Zakat merupakan fardhu ‘ain bagi mereka yang telah cukup syarat yang mewajibkannya. Kefardhuannya itu terdapat di dalam Al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmak. Firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka.
(Al-Taubah: 103)
Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Allah SWT mengarahkan Baginda SAW mengambil dari sebahagian harta mereka sebagai sadaqah (zakat). Selepas kewafatan Nabi SAW, ayat ini juga telah digunakan sebagai dalil untuk mengatakan bahawa tiada zakat selepas kewafatan Baginda SAW kerana zahir ayat menunjukkan bahawa hanya Nabi SAW sahaja yang berhak untuk mengutip zakat. Takwilan dan tafsiran ini dibantah oleh Abu Bakar RA dan para sahabat yang lain yang mana mereka bangkit memerangi golongan ini sehingga mereka menunaikan zakat kepada khalifah sepertimana halnya ketika Nabi SAW masih hidup. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/207)
Di dalam hadith Nabi SAW, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan tentang perintah Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal RA sebelum mengutusnya ke Yaman, yang mana Rasulullah SAW bersabda:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan zakat ke atas harta-harta mereka, di ambil dari kalangan mereka yang kaya dan diberikan kepada golongan fakir dari kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1395) dan Muslim (19)
Telah sepakat juga melalui ijma’ mengenai kefardhuan berzakat dan tidak ada fuqaha’ yang menyelisihi ijma’ ini.
HUKUM QADHA ZAKAT
Dalam mazhab Syafie, makruh hukumnya jika membayar zakat fitrah selepas solat hari raya sehingga akhir hari tersebut. Sekiranya zakat fitrah itu dikeluarkan lewat dari waktu tersebut, maka dia telah berdosa dan wajib mengqadha’kannya. Lihat Fiqh al-Manhaji ala Madzhab al-Imam al-Syafie (1/231).
Firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Taubah, 9:35)
Zakat al-Naqd diambil daripada simpanan emas dan perak yang telah cukup nisab dan haulnya. Penggunaan duit kertas mengambil hukum penggunaan emas dan perak. Lihat Fiqh al-Manhaji ala Madzhab al-Imam al-Syafie (1/281), al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/29). Justeru, wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan Zakat dikenakan ke atas jumlah baki terendah dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab. [1]
FATWA PARA ULAMA DAN BADAN BERAUTORITI BERKENAAN ISU QADHA ZAKAT
- Pendapat Imam Ibn Hazm (456 H.)
Kata beliau Rahimahullah: Sesiapa yang telah terkumpul pada hartanya dua zakat dan ke atas dalam keadaan dia masih hidup maka hendaklah ditunaikan zakat itu kesemuanya bagi setiap tahun dengan kadar yang wajib ke atasnya pada setiap tahun. Sama ada yang demikian itu disebabkan hartanya hilang, lewatnya pemungut zakat (yang dilantik oleh pemerintah dari memungutnya), ataupun disebabkan kejahilan dirinya, dan seumpamanya. Lihat al-Muhalla, Ibn Hazm (6/87).
- Pendapat Imam al-Nawawi (676 H.)
Beliau ketika mengulas isu berkata: Apabila telah berlalu ke atasnya beberapa tahun dan dia masih belum menunaikan zakatnya maka menjadi kelaziman ke atasnya untuk menunaikan zakat tersebut secara keseluruhannya sama ada dia mengetahui akan kewajipan zakat ataupun tidak. Juga sama ada di negara Islam ataupun negara Harbi dan inilah mazhab kami. Lihat al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi (5/337).
- Pendapat Imam Ibn al-Munzir (318 H.)
Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata Ibn al-Munzir yang menyebut: Sekiranya kelompok pemberontak menguasai sesebuah negara lalu penduduk negara tersebut tidak menunaikan zakat selama beberapa tahun, kemudiannya ada pemerintah yang berjaya menguasai negara tersebut maka dia perlu mengambil zakat-zakat mereka yang lepas menurut pendapat Malik, al-Syafie, dan juga Abu Thaur. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (5/337).
- Pendapat Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (620)
Kata beliau Rahimahullah: Sesungguhnya zakat wajib pada zimmah (tanggungan) dan bukannya pada ‘ain harta. Maka jika zakat itu merupakan tanggungan dan telah berlalu ke atas hartanya dua kali haul yang belum dia tunaikan zakat bagi keduanya maka wajib ke atasnya untuk menunaikan zakat yang telah berlalu. Lihat al-Mughni, Ibn Qudamah (2/679).
- Pendapat al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah: Sesungguhnya zakat masih menjadi hutang di tengkuk seorang muslim dan tidak terlepas tanggungan ke atas dirinya. Tidak tepat keislaman dan tidak benar keimanannya kecuali dengan menunaikan zakat sekalipun banyak tahunnya. Lihat Fatawa al-Zakaat, al-Qaradhawi.
- Pendapat al-Hai’ah al-‘Aammah Lil Shu’un al-Islamiah wal-Awqaaf, Kuwait.
Pertubuhan ini menyatakan: Tidak boleh untuk melewatkan zakat daripada waktu wajib menunaikannya kecuali dengan keuzuran. Ini kerana ia adalah hak ke atas golongan fakir dan mereka yang berhak mendapatkannya. Serta hendaklah bersegera untuk menunaikan zakat-zakat yang telah berlalu. Lihat http://www.awqaf.gov.ae/Fatwa.aspx?SectionID=9&RefID=32080
HUTANG ZAKAT PERLU DIAMBIL DARIPADA TARIKAH (HARTA PENINGGALAN SI MATI)
Para ulama fekah menegaskan, hutang itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, hutang kepada Allah seperti nazar, haji, zakat, kaffarah dan sebagainya, dan kedua, hutang kepada manusia seperti gadaian, hutang mahar, hutang tanpa gadaian dan sebagainya. Dalam masalah ini ulama mazhab Syafie berpendapat hutang kepada Allah hendaklah dibayar terlebih dahulu daripada hutang kepada manusia. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.
Riwayat al-Bukhari (1953), Muslim (1148)
Hukum ini menunjukkan zakat apabila tidak dibayar sewaktu hidup, hendaklah diqadakan pembayarannya selepas mati dan dikira sebagai hutang kepada Allah Taala. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab, al-Nawawi (6/231-232).
ANCAMAN DAN AMARAN KEPADA GOLONGAN YANG ENGGAN MEMBAYAR ZAKAT
Di dalam kitab al-Kabair, al-Imam al-Zahabi telah memasukkan perbuatan enggan membayar zakat sebagai di antara dosa-dosa besar. Beliau menukilkan firman Allah S.W.T:
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Taubah (36)
Demikian juga al-Zahabi menukilkan firman Allah S.W.T:
وويل للْمُشْرِكين الَّذين لَا يُؤْتونَ الزَّكَاة
Maksudnya: Dan celakalah bagi golongan musyrikin yang mana mereka itu tidak menunaikan zakat.
Surah al-Fussilat (6 dan 7)
Lalu kata beliau Rhm: Allah menamakan mereka (golongan yang tidak menunaikan zakat) sebagai musyrikin. Lihat al-Kabair, al-Zahabi (1/32).
Imam Ibn Jarir al-Thabari Rhm. ketika mengulas ayat di dalam Surah al-Taubah tersebut beliau menukilkan pendapat ahli ilmu yang mengatakan: Iaitu setiap harta yang wajib padanya zakat akan tetapi tidak ditunaikan zakatnya. Lihat Tafsir al-Thabari (14/217).
Manakala ketika mentafsirkan ayat di dalam Surah al-Fussilat pula, al-Imam Ibn Jarir al-Thabari menukilkan pendapat para ulama yang mengatakan: Iaitu mereka yang tidak mengakui akan zakat harta-harta mereka yang telah Allah fardhukan ke atas mereka. Serta mereka juga tidak memberikan zakat kepada orang yang layak menerimanya. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir.
Justeru, kedua-dua ayat ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan enggan membayar zakat merupakan satu dosa di antara dosa-dosa besar. Bahkan sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama Usul, tanda sesuatu amalan itu merupakan dosa besar ialah apabila ianya dilakukan ia turut disertakan dengan azab yang pedih ataupun neraka.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kami berpendapat bahawa zakat tetap perlu dibayar sebagai qadha. Ini seperti yang disebutkan di dalam hadis bahawa hutang Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan. Mauqif Saidina Abu Bakr R.anhu sangat jelas dalam memerangi golongan yang tidak membayar zakat. Ketika mana Saidina Umar al-Khattab R.anhu mempersoal tindakan Saidina Abu Bakr yang memerangi golongan yang enggan membayar zakat, Umar berkata: Bagaimana kamu boleh memerangi manusia sedangkan Rasulullah S.A.W bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan persaksian bahawa tiada tuhan yang diabdikan diri selain Allah. Maka sesiapa yang mengucapkannya telah terpeliharalah harta dan nyawanya kecuali dengan hak serta urusannya adalah ke atas Allah. Lalu Abu Bakr menjawab: Demi Allah, aku akan memerangi mereka yang membeza-bezakan di antara solat dan juga zakat. Sesungguhnya zakat itu adalah hak bagi harta. Demi Allah sekiranya mereka enggan mengeluarkan zakat ternakan yang mereka dahulunya berikan kepada Rasulullah nescaya aku akan memerangi mereka kerana keengganan tersebut. Lihat Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat (1388).
Sayugianya kepada kita semua untuk menunaikan zakat apabila telah cukup syarat-syaratnya ke atas diri kita. Ini supaya dengan amalan berzakat yang kita lakukan dapat menjamin kestabilan ekonomi umat Islam di negara kita khasnya. Semoga dengan amalan berzakat ini dapat mengeratkan hubungan hamba dengan Tuhannya (hablun minallah) serta hubungan manusia sesama mereka (hablun minannas). Ameen.
Akhukum Fillah,
S.S. DATUK DR ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
18 MAC 2016 BERSAMAAN 9 JAMADIL AKHIR 1437 H.
[1] http://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-zakat/zakat-wang-simpanan
http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/627-irsyad-al-fatwa-siri-104-hukum-qadha-zakat