Wednesday, November 15, 2017

Bolehkah kita mengucapkan tahmid jika bersin di dalam solat?

Soalan :
Bolehkah kita mengucapkan tahmid jika bersin di dalam solat?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkara ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah ketika Baginda mengimamkan solat. Ianya diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ Bin ‘Afra’. 
Kata beliau :
صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَطَسْتُ ، فَقُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَلَمَّا صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ ، فَقَالَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّانِيَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ فَقَالَ رِفَاعَةُ بْنُ رَافِعٍ ابْنُ عَفْرَاءَ : أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : كَيْفَ قُلْتَ ؟ ، قَالَ : قُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ ابْتَدَرَهَا بِضْعَةٌ وَثَلاَثُونَ مَلَكًا ، أَيُّهُمْ يَصْعَدُ بِهَا

Maksudnya :” Aku solat di belakang Rasulullah saw lantas aku bersin. Maka aku mengucapkan alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha
Apabila Rasululullah saw selesai solat Baginda memalingkan wajah Baginda seraya bertanya :” Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Kemudian Baginda bertanya lagi :”siapa yang bercakap di dalam solat tadi?”. Tiada siapa yang menjawab. Baginda bertanya untuk kali ketiga :” Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Rifa’ah bin Rafi’ bin ‘Afra’ menjawab :” Aku wahai rasulullah.”. Baginda bertanya :” Bagaimana engkau menyebut tadi?”. Rifa’ah menjawab :” Aku menyebut alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha. Maka Nabi saw bersabda :” Demi Tuhan yang mana nyawaku berada di tangan-Nya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut”

Riwayat al-Tirmizi (404),al-Nasaie (931),Abu Daud (773).Kata Imam al-Tirmizi:Hadis Rifa’ah adalah hadis bertaraf Hasan

Imam al-Tirmizi ketika memberi komentar berkenaan hadis ini beliau menyebut :
“Di sisi sebahagian ahli ilmu hadis ini dibolehkan di dalam solat tatawwu’ kerana kebanyakan para Tabien menyebut :” Jika seseorang bersin di dalam solat fardu maka dia dibolehkan untuk dia menyebut tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja tidak lebih dari itu.”
Rujuk Jami’ al-Tirmizi (2/165)

Kata Sheikh al-Romli :
“Jika seseorang bersin maka disunatkan untuk menyebut tahmid.Seakan-akan maksud pengarang adalah bermaksud mengucapkan tahmid di dalam selain al-Fatihah. Kerana jika dibaca di dalam al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah.”
Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (4/150)

Kata Sheikh Abdul Rahman Bin Muhammad al-Ba’lawi :
“Jika seseorang bersin di dalam solat maka disunnatkan untuk mengucapkan tahmid secara sirr (senyap) walaupun ketika al-Fatihah. Akan tetapi ucapan tahmid ketika al-Fatihah memutuskan muwalat maka dia perlu mengulangi bacaan al-Fatihah.”
Bughyah al-Mustarsyidin Fi Talkhis Fatawa ba’di al-Aimmah bin ulama al-Mutaakhirin (1/90)

Kata Allamah Syed al-Bakri al-Dimyati :
“ Dan disunatkan bagi yang bersin untuk mengucapkan tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja. Akan tetapi jika dia mengucapkannya pada pertengahan al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah.”
Rujuk I’anah al-Tolibin ‘ala hilli alfaz Fath Al-Mu’in li Syarh Qurrah al-‘Ain(1/256)

Sheikh Muhsin al-Abbad ketika beliau ditanya tentang hukum mengucapkan tahmid selepas bersin di dalam solat beliau menjawab : “ Boleh mengucapkan tahmid akan tetapi tidak boleh membalas ucapan dalam keadaan dia tidak mengangkat suara yang boleh mengganggu orang lain. Dia hanya boleh mengucapakan tahmid dengan kadar yang boleh didengari oleh dirinya.”

Secara ringkasnya dibolehkan seseorang yang bersin di dalam solat untuk dia mengucapkan tahmid dengan syarat tidak mengangkat suaranya sehingga boleh menganggu orang lain. Ucapan tersebut perlulah disembunyikan iaitu hanya didengari oleh dirinya sendiri.

Begitu juga, dengan mengambil kira pandangan ulama yang pelbagai, kami lebih cenderung kepada lebih baik bag tidak menjawab bagi orang yang mendengar ucapan tahmid tersebut. Ini kerana dia sedang solat dan ada bacaan-bacaan yang perlu difokuskan.

Wallahu’alam

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1828-al-kafi-671-bolehkah-kita-mengucapkan-tahmid-jika-bersin-di-dalam-solat



Hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bayi?

Soalan:
Salam. Apakah hukum doktor lelaki menyambut kelahiran dan melihat faraj wanita sewaktu bersalin sedangkan di hospital yang sama masih terdapat doktor perempuan? Bagaimana aurat wanita dalam perubatan?

Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak.

Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat
  • Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
  • Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya).
  • Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
  • Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:
أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ
Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”

Hadis riwayat Muslim (2206)
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)

Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:
قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي - رحمه الله - : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة
Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” Rujuk Marqah al-Mafatih ٍ (no. 3103)

Justeru, termasuklah dalam kategori rawatan ini ialah menyambut kelahiran kerana ia melibat nyawa ibu dan anak jua. Kami syorkan hendak semua dawabit atau syarat-syarat yang dinyatakan di atas hendaklah dipatuhi bagi memastikan ketenangan bagi pihak pesakit, hospital dan keluarga,
Wallahua’lam.

Sumber:
http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1832-al-kafi-674-hukum-doktor-lelaki-menyambut-kelahiran-bayi

Kesimpulan:

Kesimpulan penulis daripada nas-nas/hujah yang dibawa di atas; kalau ada duit lebih/berkemampuan dari segi kewangan, pergi la ke Hospital Swasta. Di sana boleh minta *request/demand untuk doktor perempuan. 

Kalau tidak mampu, maka ke Hospital Kerajaan sajalah. Kalau berpeluang, mintalah doktor perempuan (sebagai tanda kita beriman). Staf bilik bersalin mungkin boleh tolong aturkan mengikut 'availability' doktor yang ada, tetapi kebiasaannya sukar. 

Jika tak dapat, janganlah marah atau mengeluh, (kerana kita sudah berusaha sekurang-sekurangnya) keadaan mendesak di luar kawalan kita. 

*Pandangan penulis boleh jadi betul ataupun sebaliknya. Mohon rujuk kepada yang faqih/alim.

Beristighfarlah, minta ampun banyak-banyak pada Tuhan jika kita lemah menjalankan perintah-Nya. 

Moga-moga kita semua diberi keampunan dan rahmat dari-Nya. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Pengampun. 


Friday, July 21, 2017

Hukum Qada' Zakat

SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Saya mempunyai harta yang wajib atasnya zakat sejak 20 tahun dahulu tetapi saya tidak pernah menunaikan zakat. Sekarang ini, saya sudah jatuh bankrup. Adakah saya dikira berhutang bagi zakat yang saya tidak bayar selama 20 tahun itu?

Mohon penjelasan.

JAWAPAN:

KEDUDUKAN ZAKAT DALAM SISTEM EKONOMI ISLAM
Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.
Firman Allah SWT:
وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
(Surah al-Dzariyat, 51:19)
Zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial, iaitu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.
مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Hasyr, 59:7)

Manakala kedudukan zakat itu adalah dari rukun-rukun Islam yang lima. Ia adalah rukun yang ketiga selepas syahadatain dan solat. Dalam sabda Baginda SAW yang masyhur:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”
Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
Begitu juga Rasulullah SAW telah mengambil bai’ah ke atas sahabat, seperti kata Jabir bin Abdullah RA:
بَايَعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم عَلَى إِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالنُّصْحِ لِكُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: Aku telah berbai’ah kepada Nabi SAW untuk mendirikan solat, menunaikan zakat dan memberikan nasihat  buat setiap muslim.
Riwayat al-Bukhari (1401)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) Rhm mengatakan bahawa bai’ah Islam itu tidaklah sempurna dengan beriltizam menunaikan zakat dan manakala mereka yang enggan membayarnya membuatkan terbatalnya bai’ah tersebut. Ini jelas menunjukkan keutamaan berzakat yang mana jika enggan menunaikannya, boleh menyebabkan terbatalnya iman. Lihat Fath al-Baari (3/267).

Sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.”
Riwayat Muslim (2588)
Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun, sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka.
Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan, sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat),supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

               (Surah al-Taubah, 9: 103)

HUKUM BERZAKAT
Zakat merupakan fardhu ‘ain bagi mereka yang telah cukup syarat yang mewajibkannya. Kefardhuannya itu terdapat di dalam Al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmak. Firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka.
(Al-Taubah: 103)

Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Allah SWT mengarahkan Baginda SAW mengambil dari sebahagian harta mereka sebagai sadaqah (zakat). Selepas kewafatan Nabi SAW, ayat ini juga telah digunakan sebagai dalil untuk mengatakan bahawa tiada zakat selepas kewafatan Baginda SAW kerana zahir ayat menunjukkan bahawa hanya Nabi SAW sahaja yang berhak untuk mengutip zakat. Takwilan dan tafsiran ini dibantah oleh Abu Bakar RA dan para sahabat yang lain yang mana mereka bangkit memerangi golongan ini sehingga mereka menunaikan zakat kepada khalifah sepertimana halnya ketika Nabi SAW masih hidup. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/207)
Di dalam hadith Nabi SAW, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan tentang perintah Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal RA sebelum mengutusnya ke Yaman, yang mana Rasulullah SAW bersabda:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan zakat ke atas harta-harta mereka, di ambil dari kalangan mereka yang kaya dan diberikan kepada golongan fakir dari kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1395) dan Muslim (19)

Telah sepakat juga melalui ijma’ mengenai kefardhuan berzakat dan tidak ada fuqaha’ yang menyelisihi ijma’ ini.

HUKUM QADHA ZAKAT
Dalam mazhab Syafie, makruh hukumnya jika membayar zakat fitrah selepas solat hari raya sehingga akhir hari tersebut. Sekiranya zakat fitrah itu dikeluarkan lewat dari waktu tersebut, maka dia telah berdosa dan wajib mengqadha’kannya. Lihat Fiqh al-Manhaji ala Madzhab al-Imam al-Syafie (1/231).

Firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Taubah, 9:35)
Zakat al-Naqd diambil daripada simpanan emas dan perak yang telah cukup nisab dan haulnya. Penggunaan duit kertas mengambil hukum penggunaan emas dan perak. Lihat Fiqh al-Manhaji ala Madzhab al-Imam al-Syafie (1/281), al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/29). Justeru, wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan Zakat dikenakan ke atas jumlah baki terendah dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab. [1]

FATWA PARA ULAMA DAN BADAN BERAUTORITI BERKENAAN ISU QADHA ZAKAT
  • Pendapat Imam Ibn Hazm (456 H.)
Kata beliau Rahimahullah: Sesiapa yang telah terkumpul pada hartanya dua zakat dan ke atas dalam keadaan dia masih hidup maka hendaklah ditunaikan zakat itu kesemuanya bagi setiap tahun dengan kadar yang wajib ke atasnya pada setiap tahun. Sama ada yang demikian itu disebabkan hartanya hilang, lewatnya pemungut zakat (yang dilantik oleh pemerintah dari memungutnya), ataupun disebabkan kejahilan dirinya, dan seumpamanya. Lihat al-Muhalla, Ibn Hazm (6/87).

  • Pendapat Imam al-Nawawi (676 H.)
Beliau ketika mengulas isu berkata: Apabila telah berlalu ke atasnya beberapa tahun dan dia masih belum menunaikan zakatnya  maka menjadi kelaziman ke atasnya untuk menunaikan zakat tersebut secara keseluruhannya sama ada dia mengetahui akan kewajipan zakat ataupun tidak. Juga sama ada di negara Islam ataupun negara Harbi dan inilah mazhab kami. Lihat al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi (5/337).

  • Pendapat Imam Ibn al-Munzir (318 H.)
Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata Ibn al-Munzir yang menyebut: Sekiranya kelompok pemberontak menguasai sesebuah negara lalu penduduk negara tersebut tidak menunaikan zakat selama beberapa tahun, kemudiannya ada pemerintah yang berjaya menguasai negara tersebut maka dia perlu mengambil zakat-zakat mereka yang lepas menurut pendapat Malik, al-Syafie, dan juga Abu Thaur. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (5/337).

  • Pendapat Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (620)
Kata beliau Rahimahullah: Sesungguhnya zakat wajib pada zimmah (tanggungan) dan bukannya pada ‘ain harta. Maka jika zakat itu merupakan tanggungan dan telah berlalu ke atas hartanya dua kali haul yang belum dia tunaikan zakat bagi keduanya maka wajib ke atasnya untuk menunaikan zakat yang telah berlalu. Lihat al-Mughni, Ibn Qudamah (2/679).

  • Pendapat al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah: Sesungguhnya zakat masih menjadi hutang di tengkuk seorang muslim dan tidak terlepas tanggungan ke atas dirinya. Tidak tepat keislaman dan tidak benar keimanannya kecuali dengan menunaikan zakat sekalipun banyak tahunnya. Lihat Fatawa al-Zakaat, al-Qaradhawi.

  • Pendapat al-Hai’ah al-‘Aammah Lil Shu’un al-Islamiah wal-Awqaaf, Kuwait.
Pertubuhan ini menyatakan: Tidak boleh untuk melewatkan zakat daripada waktu wajib menunaikannya kecuali dengan keuzuran. Ini kerana ia adalah hak ke atas golongan fakir dan mereka yang berhak mendapatkannya. Serta hendaklah bersegera untuk menunaikan zakat-zakat yang telah berlalu. Lihat http://www.awqaf.gov.ae/Fatwa.aspx?SectionID=9&RefID=32080


HUTANG ZAKAT PERLU DIAMBIL DARIPADA TARIKAH (HARTA PENINGGALAN SI MATI)
Para ulama fekah menegaskan, hutang itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, hutang kepada Allah seperti nazar, haji, zakat, kaffarah dan sebagainya, dan kedua, hutang kepada manusia seperti gadaian, hutang mahar, hutang tanpa gadaian dan sebagainya. Dalam masalah ini ulama mazhab Syafie berpendapat hutang kepada Allah hendaklah dibayar terlebih dahulu daripada hutang kepada manusia. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.
Riwayat al-Bukhari (1953), Muslim (1148)
Hukum ini menunjukkan zakat apabila tidak dibayar sewaktu hidup, hendaklah diqadakan pembayarannya selepas mati dan dikira sebagai hutang kepada Allah Taala. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab, al-Nawawi (6/231-232).

ANCAMAN DAN AMARAN KEPADA GOLONGAN YANG ENGGAN MEMBAYAR ZAKAT
Di dalam kitab al-Kabair, al-Imam al-Zahabi telah memasukkan perbuatan enggan membayar zakat sebagai di antara dosa-dosa besar. Beliau menukilkan firman Allah S.W.T:
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Taubah (36)
Demikian juga al-Zahabi menukilkan firman Allah S.W.T:
وويل للْمُشْرِكين الَّذين لَا يُؤْتونَ الزَّكَاة
MaksudnyaDan celakalah bagi golongan musyrikin yang mana mereka itu tidak menunaikan zakat.
Surah al-Fussilat (6 dan 7)
Lalu kata beliau Rhm: Allah menamakan mereka (golongan yang tidak menunaikan zakat) sebagai musyrikin. Lihat al-Kabair, al-Zahabi (1/32).
Imam Ibn Jarir al-Thabari Rhm. ketika mengulas ayat di dalam Surah al-Taubah tersebut beliau menukilkan pendapat ahli ilmu yang mengatakan: Iaitu setiap harta yang wajib padanya zakat akan tetapi tidak ditunaikan zakatnya. Lihat Tafsir al-Thabari (14/217).
Manakala ketika mentafsirkan ayat di dalam Surah al-Fussilat pula, al-Imam Ibn Jarir al-Thabari menukilkan pendapat para ulama yang mengatakan: Iaitu mereka yang tidak mengakui akan zakat harta-harta mereka yang telah Allah fardhukan ke atas mereka. Serta mereka juga tidak memberikan zakat kepada orang yang layak menerimanya. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir.
Justeru, kedua-dua ayat ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan enggan membayar zakat merupakan satu dosa di antara dosa-dosa besar. Bahkan sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama Usul, tanda sesuatu amalan itu merupakan dosa besar ialah apabila ianya dilakukan ia turut disertakan dengan azab yang pedih ataupun neraka.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kami berpendapat bahawa zakat tetap perlu dibayar sebagai qadha. Ini seperti yang disebutkan di dalam hadis bahawa hutang Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan.  Mauqif Saidina Abu Bakr R.anhu sangat jelas dalam memerangi golongan yang tidak membayar zakat. Ketika mana Saidina Umar al-Khattab R.anhu mempersoal tindakan Saidina Abu Bakr yang memerangi golongan yang enggan membayar zakat, Umar berkata: Bagaimana kamu boleh memerangi manusia sedangkan Rasulullah S.A.W bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan persaksian bahawa tiada tuhan yang diabdikan diri selain Allah. Maka sesiapa yang mengucapkannya telah terpeliharalah harta dan nyawanya kecuali dengan hak serta urusannya adalah ke atas Allah. Lalu Abu Bakr menjawab: Demi Allah, aku akan memerangi mereka yang membeza-bezakan di antara solat dan juga zakat. Sesungguhnya zakat itu adalah hak bagi harta. Demi Allah sekiranya mereka enggan mengeluarkan zakat ternakan yang mereka dahulunya berikan kepada Rasulullah nescaya aku akan memerangi mereka kerana keengganan tersebut. Lihat Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat (1388).
Sayugianya kepada kita semua untuk menunaikan zakat apabila telah cukup syarat-syaratnya ke atas diri kita. Ini supaya dengan amalan berzakat yang kita lakukan dapat menjamin kestabilan ekonomi umat Islam di negara kita khasnya. Semoga dengan amalan berzakat ini dapat mengeratkan hubungan hamba dengan Tuhannya (hablun minallah) serta hubungan manusia sesama mereka (hablun minannas). Ameen.

Akhukum Fillah,
S.S. DATUK DR ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
18 MAC 2016 BERSAMAAN 9 JAMADIL AKHIR 1437 H.

[1] http://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-zakat/zakat-wang-simpanan

http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/627-irsyad-al-fatwa-siri-104-hukum-qadha-zakat

Adakah peha lelaki itu termasuk dalam daerah aurat?

SOALAN
Assalamualaikum Tuan Sahibus Samahah,
Boleh Dr. beri penjelasan berkenaan aurat lelaki bagi sesetengah mazhab iaitu boleh menampakkan lutut dan peha.

Jazakallah khoir


JAWAPAN:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Mazhab Hanafi menganggap apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap lutut itu aurat sedangkan pusat tidak. Manakala mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan antara pusat dan lutut itu aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat. Adapun mazhab Maliki, Zahiri dan satu pandangan daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa peha itu bukan aurat.

Wallahuaʿlam

Sunday, July 16, 2017

Apakah HUKUM ISTINJAK menggunakan TOILET PAPER?


Pada dasarnya, Islam meliputi seluruh urusan kehidupan manusia, sampai masalah yang dianggap kecil dan remeh, iaitu urusan adab buang hadas kecil. Diriwayatkan dari Salman al Farisi ra, pernah ada seseorang yang bertanya kepada beliau perihal ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw,

"(Benarkan) Nabi kalian telah mengajarkan kepada kalian segala sesuatu sampai pun perkara adab buang air?” Lalu Salman menjawab, "Benar (beliau mengajarkan kami adab buang hajat), beliau melarang kami menghadap kiblat ketika buang air besar atau buang air kecil, bercebok dengan tangan kanan, dan beristinja' kurang dari tiga buah batu."(HR. Muslim)

Pengertian bercebok

Bercebok dalam bahasa Arab dikenal dengan istinja’,iaitu membersihkan kotoran yang keluar dari dua jalan (qubul dan dubur) dengan air, batu, daun atau yang sejenisnya. Di samping istinja’, bercebok disebut juga dengan istijmar, kerana menggunakan jimar (batu kecil) untuk membersihkannya. Dinamakan juga istithabah, kerana mengharumkan tubuhnya dengan menghilangkan kotoran darinya. (Lihat al-Mughni, Ibnu Qudamah: 1/205)

Berintinja’ wajib dilakukan dari setiap sesuatu yang keluar dari dua jalan tersebut, seperi air seni (air kencing), mazi, dan tinja(tahi). Hal ini didasarkan pada hadits Nabi saw,

“Jika salah seorang kamu mendatangi tempat buang hajat, maka hendaklah ia bercebok dengan tiga buah batu. Sesungguhnya itu sudah cukup baginya.” (HR. Abu Dawud, al-Nasai, dan Ahmad dari Aisyah ra . Dihassankan oleh Al-Albani dalam al-Irwa’ no. 44)

Dengan apa beristinja'?

Dalam pembahasan ulama fiqih, disebutkan bahwa beristinja’ bisa dengan dua macam:

1.    Dengan batu atau sejenisnya dari semua benda padat yang bisa menghilangkan najis, bukan benda yang dimuliakan. Hal ini didasarkan pada hadis di atas dan hadis lainnya tentang istinja' dengan tiga buah batu dan tidak boleh kurang.

2.    Dengan air. Diriwayatkan dari Anas ra, ia berkata: “Rasulullah saw memasuki tempat buang air, lalu aku dan seorang anak seusiaku lainnya membawakan setimba air dan tongkat kecil, maka beliau beristinja' (bercebok) dengan air.” (HR. Muslim, al-Tirmidzi, dan Ahmad)

Antara air dan batu, mana lebih utama?

Beristinja’ dengan air lebih utama daripada dengan batu karena Allah swt telah memuji ahli Qubba’ kerana beristinja’ dengan air.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra secara marfu’ bahwa ayat ini turun berkenaan dengan penduduk Quba’:

فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا

"Di dalamnya terdapat orang-orang yang ingin membersihkan diri." (QS. Al-Taubah: 108)

Ia berkata, “Mereka beristinja’ dengan air, lalu turunlah ayat ini berkenaan dengan mereka.” (HR. Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan dihasankan oleh Al-Albani dalam Al-Irwa’ no. 45)

Al-Tirmidzi (I/31) berkata, “Hal inilah yang berlaku di kalangan ahli ilmu. Mereka memilih beristinja’ dengan air. Adapun beristinja’ dengan batu, menurut mereka, sudah mencukupi. Namun, mereka menyukai beristinja’ dengan air dan memandangnya lebih afdhal. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh al-Tsauri, Ibnul Mubarak, al-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaq. (Lihat: Shahih Fiqih Sunnah (edisi Indonesia, Pustaka al-Tazkia), I/116)

Menghilangkan najis apakah harus dengan air?

Persoalan bercebok adalah persoalan menghilangkan najis dari badan guna sahnya ibadah seorang muslim. Dan air kecil dan besar tergolong bahagian dari najis secara zatnya (materinya). Sedangkan uraian di atas telah dijelaskan bahwa bercebok tidak harus dengan air, walau dengan air jauh lebih utama.

Bagaimana kalau didapatkan toilet yang hanya disediakan tisu saja, tanpa air? Apakah bercebok untuk menghilangkan najis dari badan hanya dengan tisu sudah mencukupi?
Dalam pembahasan menghilangkan najis ini, para ulama berbeza pandapat. Paling tidak ada dua pendapat yang masyhur:

Pertama, disyaratkan air untuk menghilangkan najis. Tidak sah menghilangkannya dengan selainnya, kecuali berdasarkan dalil. Hal didasarkan pada sifat air yang telah Allah tetapkan sebagai benda suci lagi menyucikan.

1.    Allah Ta'ala berfirman:
وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ
"Dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu." (QS. Al-Anfal: 11) dan ayat-ayat lainnya yang menunjukkan kesucian air.

2.  Perintah Nabi saw untuk menyiramkan air pada air seni (air kencing) orang Arab Badui. Menurut mereka perintah ini menunjukkan kewajiban, maka tidak sah menghilangkan najis dengan selain air. (Muttafaq 'alaih)

3.    Perintah Nabi shallallaahu 'alaihi wasallam, sebagaimana disebutkan dalam hadits Abu Tsa’labah, untuk mencuci bejana-bejana ahli kitab dengan air. (Muttaq ‘alaih)

4.    Al-Syaukani berkata, “Air adalah asal untuk menyucikan najis. Kerana syaari’ menyifatinya sebagai benda yang suci. Tidak dapat dipindahkan kepada selainya, kecuali ada ketetapan yang sah darinya. Jika tidak ada, maka tidak boleh menggantinya. Kerana hal itu termasuk berpaling dari sesuatu yang sudah dimaklumi kesuciannya kepada sesuatu yang belum dimaklumi kesuciannya. 

Hal itu bererti keluar dari syariat.
Pendapat ini adalah yang masyhur dikalangan mazhab Malik, Ahmad, dan al-syafi’i dalam qaul jadidnya. Pendapat ini juga didukung oleh imam Al-Syaukani dan orang-orang yang mengikutinya.

Kedua, sah menyucikan dengan segala benda yang dapat menghilangkan najis dan tidak disyaratkan air. Ini adalah mazhab Abu Hanifah, satu riwayat dari Imam Malik dan Imam Ahmad serta Imam Al-Syafi’i dalam qaul qadimnya. Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyah, dan Syaikhul Utsaimin berpendapat dengannya. Dan oleh Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim dalam Shahih Fiqih Sunnah merajihkan pendapat ini dengan alasan sebagai berikut:

1.    Keberadaan air sebagai benda yang menyucikan tidak menafikan benda lain yang bisa menyucikan seperti air.

2.    Syariat hanya mmerintahkan untuk membersihkan najis dengan air pada kes tertentu saja, dan tidaklah memerintah secara umum untuk menghilangkan semua najis dengan air.

3.    Syariat telah mengizinkan untuk membersihkan sebahagian najis dengan sebagian air seperti: beristinja’ dengan batu, mengosok sandal dengan tanah, membersihkan hujung pakaian dengan tanah, dan lainnya.

4.    Menghilangkan najis bukan termasuk bab ma’mur (sesuatu yang diperintahkan) tetapi bab ijtinab al-mahdzur (menjauhi sesuatu yang dilarang). Pada saat seseorang terkena najis  dengan sebab apapun, ketika itu berlakulah hukumnya. Kerananya, untuk menghilangkan najis tidak disyaratkan niat. Akan tetapi, jika najis tersebut hilang dengan perbuatan seseorang disertai dengan niat, maka ia mendapatkan pahala. Jika najis hilang dengan sendirinya, tanpa sengaja menghilangkannya, maka hilanglah mafsadah itu. Tapi dalam hal ini ia tidak mendapatkan pahala dan tidak pula mendapat dosa. Kemudian Syaikh Kamal Sayyid salim menambahkan, “Jika najis hilang dengan sesuatu, maka hukumnya juga hilang dan benda kembali suci.” (Shahih Fiqih Sunnah: I/112-113)

Kesimpulan

Bahawa membersihkan najis yang keluar dari dua jalan dengan cara cebok boleh menggunakan benda selain air, dengan syarat benda itu suci, dan tisu masuk di dalamnya. Hal itu lebih diperjelas lagi oleh hadis Ibnu Mas'ud ra yang diminta oleh Nabi saw agar mengambilkan tiga buah batu. Ibnu Masud hanya menemukan dua buah dan tidak menemukan ketiganya. Lalu beliau mengambil kotoran haiwan (keledai) yang sudah kering dan membawanya kepada beliau saw. Lalu beliau mengambil dua buah batu dan membuang kotoran haiwan tadi, seraya berkata, "ini adalah najis." (HR. Bukhari dan selainnya)

(Sumber:fiqh-am)