Wednesday, November 15, 2017

Bolehkah kita mengucapkan tahmid jika bersin di dalam solat?

Soalan :
Bolehkah kita mengucapkan tahmid jika bersin di dalam solat?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkara ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah ketika Baginda mengimamkan solat. Ianya diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ Bin ‘Afra’. 
Kata beliau :
صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَطَسْتُ ، فَقُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَلَمَّا صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ ، فَقَالَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّانِيَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ فَقَالَ رِفَاعَةُ بْنُ رَافِعٍ ابْنُ عَفْرَاءَ : أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : كَيْفَ قُلْتَ ؟ ، قَالَ : قُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ ابْتَدَرَهَا بِضْعَةٌ وَثَلاَثُونَ مَلَكًا ، أَيُّهُمْ يَصْعَدُ بِهَا

Maksudnya :” Aku solat di belakang Rasulullah saw lantas aku bersin. Maka aku mengucapkan alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha
Apabila Rasululullah saw selesai solat Baginda memalingkan wajah Baginda seraya bertanya :” Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Kemudian Baginda bertanya lagi :”siapa yang bercakap di dalam solat tadi?”. Tiada siapa yang menjawab. Baginda bertanya untuk kali ketiga :” Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Rifa’ah bin Rafi’ bin ‘Afra’ menjawab :” Aku wahai rasulullah.”. Baginda bertanya :” Bagaimana engkau menyebut tadi?”. Rifa’ah menjawab :” Aku menyebut alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha. Maka Nabi saw bersabda :” Demi Tuhan yang mana nyawaku berada di tangan-Nya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut”

Riwayat al-Tirmizi (404),al-Nasaie (931),Abu Daud (773).Kata Imam al-Tirmizi:Hadis Rifa’ah adalah hadis bertaraf Hasan

Imam al-Tirmizi ketika memberi komentar berkenaan hadis ini beliau menyebut :
“Di sisi sebahagian ahli ilmu hadis ini dibolehkan di dalam solat tatawwu’ kerana kebanyakan para Tabien menyebut :” Jika seseorang bersin di dalam solat fardu maka dia dibolehkan untuk dia menyebut tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja tidak lebih dari itu.”
Rujuk Jami’ al-Tirmizi (2/165)

Kata Sheikh al-Romli :
“Jika seseorang bersin maka disunatkan untuk menyebut tahmid.Seakan-akan maksud pengarang adalah bermaksud mengucapkan tahmid di dalam selain al-Fatihah. Kerana jika dibaca di dalam al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah.”
Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (4/150)

Kata Sheikh Abdul Rahman Bin Muhammad al-Ba’lawi :
“Jika seseorang bersin di dalam solat maka disunnatkan untuk mengucapkan tahmid secara sirr (senyap) walaupun ketika al-Fatihah. Akan tetapi ucapan tahmid ketika al-Fatihah memutuskan muwalat maka dia perlu mengulangi bacaan al-Fatihah.”
Bughyah al-Mustarsyidin Fi Talkhis Fatawa ba’di al-Aimmah bin ulama al-Mutaakhirin (1/90)

Kata Allamah Syed al-Bakri al-Dimyati :
“ Dan disunatkan bagi yang bersin untuk mengucapkan tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja. Akan tetapi jika dia mengucapkannya pada pertengahan al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah.”
Rujuk I’anah al-Tolibin ‘ala hilli alfaz Fath Al-Mu’in li Syarh Qurrah al-‘Ain(1/256)

Sheikh Muhsin al-Abbad ketika beliau ditanya tentang hukum mengucapkan tahmid selepas bersin di dalam solat beliau menjawab : “ Boleh mengucapkan tahmid akan tetapi tidak boleh membalas ucapan dalam keadaan dia tidak mengangkat suara yang boleh mengganggu orang lain. Dia hanya boleh mengucapakan tahmid dengan kadar yang boleh didengari oleh dirinya.”

Secara ringkasnya dibolehkan seseorang yang bersin di dalam solat untuk dia mengucapkan tahmid dengan syarat tidak mengangkat suaranya sehingga boleh menganggu orang lain. Ucapan tersebut perlulah disembunyikan iaitu hanya didengari oleh dirinya sendiri.

Begitu juga, dengan mengambil kira pandangan ulama yang pelbagai, kami lebih cenderung kepada lebih baik bag tidak menjawab bagi orang yang mendengar ucapan tahmid tersebut. Ini kerana dia sedang solat dan ada bacaan-bacaan yang perlu difokuskan.

Wallahu’alam

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1828-al-kafi-671-bolehkah-kita-mengucapkan-tahmid-jika-bersin-di-dalam-solat



No comments:

Post a Comment