Thursday, March 15, 2018

Hukum Wanita Menziarah Kubur

HADITH-HADITH MENZIARAHI KUBUR BAGI WANITA

Soalan: Apakah di antara hadith-hadith wanita menziarahi perkuburan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkuburan merupakan tempat persinggahan bagi setiap insan yang bernyawa apabila telah dijemput ilahi. Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa hadith sahih yang menunjukkan wanita menziarahi kubur sebelum kami menyatakan akan hukumnya.

• Daripada Anas bin Malik RA berkata bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَتَى عَلَى امْرَأَةٍ تَبْكِي عَلَى صَبِيٍّ لَهَا، فَقَالَ لَهَا: اتَّقِي اللهَ وَاصْبِرِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mendatangi seorang wanita yang sedang menangis (di kubur) kerana kematian bayinya. Maka Nabi SAW berkata kepadanya: Bertaqwalah kamu kepada Allah dan sabarlah.” [Riwayat Muslim (926)]

• Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ زَوَّارَاتِ القُبُور

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW melaknat wanita yang menziarahi perkuburan.” [Riwayat al-Tirmizi (1056)] [Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini hasan sahih]

Imam al-Tirmizi mengatakan sebahagian ahli ilmu melihat riwayat ini berlaku sebelum daripada Nabi SAW memberi rukhsah dalam menziarahi kubur. Apabila diberi rukhsah maka yang termasuk di dalam rukhsah ini adalah lelaki dan juga wanita. Namun, sebahagian ahli ilmu yang lain memahami hadith ini menunjukkan makruh bagi wanita menziarahi perkuburan disebabkan wanita ini kurang kesabaran dan terlalu beremosi (mengeluh).

• Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah RA bahawa:

أَنَّ عَائِشَةَ أَقْبَلَتْ ذَاتَ يَوْمٍ مِنَ الْمَقَابِرِ فَقُلْتُ لَهَا: يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، مِنْ أَيْنَ أَقْبَلْتِ؟ قَالَتْ: مِنْ قَبْرِ أَخِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ، فَقُلْتُ لَهَا: أَلَيْسَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، كَانَ قَدْ نَهَى، ثُمَّ أُمِرَ بِزِيَارَتِهَا

Maksudnya: “Pada suatu hari, Aisyah R.anha telah pulang dari salah satu perkuburan. Maka aku berkata kepadanya: Wahai Ummul Mu’minin, dari mana kamu datang? Maka Aisyah R.anha berkata: Dari kubur saudaraku Abd al-Rahman bin Abi Bakar. Aku berkata lagi kepadanya: Bukankah Rasulullah SAW melarang menziarahi kubur? Aisyah R.anha menjawab: Benar, dulu Baginda SAW melarang tetapi sekarang Baginda SAW memerintahkan untuk menziarahinya.” [Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (1392)]

Hukum Menziarahi Kubur

Para ahli feqah tidak khilaf bahawa sunat bagi lelaki menziarahi perkuburan berdasarkan hadith:

• Daripada Buraidah al-Aslami RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا؛ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilahnya kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” [Riwayat Ahmad (23005)] [Syeikh Syu’aib menghukum hadith ini sebagai hadith yang sahih dan sanadnya kuat]

Ini kerana, Nabi SAW keluar ke pekuburan al-Baqi’ bagi menziarahi orang yang telah mati dengan berkata:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَأَتَاكُمْ مَا تُوعَدُونَ غَدًا مُؤَجَّلُونَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kubur daripada kalangan orang yang beriman dan apa yang dijanjikan oleh Allah SWT ke atas kamu akan didapati olehmu esok (hari Akhirat). Dan kami juga insyaAllah akan menyusuli kamu jua.” [Riwayat Muslim (974)]

Adapun bagi wanita, mazhab jumhur ulama’ mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh menziarahi perkuburan berdasarkan hadith Nabi SAW bahawa laknat Allah SWT ke atas wanita yang menziarahi kubur (berdasarkan hadith riwayat al-Tirmizi di atas).

Selain itu, makruh bagi wanita disebabkan hati mereka ini lembut, banyak mengeluh, tidak kuat ketika ditimpa musibah dan kesemua ini merupakan faktor wanita itu akan menangis serta meninggikan suaranya.

Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa sunat bagi wanita menziarhi kubur sepertimana juga lelaki berdasarkan (umum) hadith Nabi SAW (setelah dianjurkan menziarahinya). [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24-25/8]

Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Namun sunat bagi mereka menziarahi kubur Rasulullah SAW, para anbiya’ dan orang soleh dengan syarat mereka tidak memperagakan diri, bercampur gaul, bersesak-sesak, bersentuhan dengan kaum lelaki dan meninggikan suara yang mungkin membawa fitnah sebagaimana yang banyak berlaku ketika mereka berziarah.” [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/266]

Di samping itu, sebahagian ulama’ menyatakan sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 1/389]

Pada pandangan kami, makruh bagi wanita untuk menziarahi kubur, sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur Rasulullah SAW kerana hukumnya adalah sunat. Juga kubur orang-orang soleh dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab-adab berziarah. Pendapat lain pula mengatakan haram. Pendapat lain juga menyatakan harus sekiranya aman daripada fitnah bagi wanita berdasarkan hadith-hadith di atas dan ini merupakan pendapat yang lebih sesuai untuk diamalkan pada masa kini dengan syarat mesti dijaga adab-adab ketika berziarah.

Penutup

Kesimpulannya, menziarahi kubur merupakan satu amalan yang mulia kerana ia akan mengingatkan seseorang itu akan kematian atau akhirat. Di samping itu juga, kita perlulah menjaga adab-adab ketika menziarahinya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini supaya setiap perkara yang kita lakukan dan amalkan bertepatan dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW. Amin.

Wallahua’lam

Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/Ri5vU7

No comments:

Post a Comment