Monday, July 18, 2016

Bolehkah gabungkan niat qadha puasa Ramadhan dengan puasa 6?

Bolehkah kita menggabungkan puasa qada’ Ramadhan dengan puasa Syawwal 6?

Boleh. Hendaklah niat qada’ puasa dahulu dan digabungkan dengan niat puasa sunat yang lain.

Ikuti ulasan oleh Ustaz Syed Fadzli al-Yamani.



Thursday, May 5, 2016

Kemusykilan Rukun Solat ‘NIAT’

Soalan:  Assalamualaikum.
Ketika solat, Adakah batal solat jika saya ter’niat’ untuk melakukan sesuatu selepas selesai solat?
Wassalam

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Jika seseorang terlintas dihatinya ketika solat untuk melakukan sesuatu perkara setelah solat, perkara tersebut tidak membatalkan solat yang dikerjakannya. Namun, perkara tersebut membantutkan mutu khusyuk yang sepatutnya diperolehinya di dalam solat.
Menghadirkan hati di dalam solat bermaksud seseorang itu khusyuk kepada Allah taala walaupun sebentar. Sesiapa yang tidak khusyuk di dalam solatnya walaupun sekejap (sesaat) di dalam solatnya, solatnya sah namun dia tidak memperolehi sebarang pahala. Allah taala berfirman di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2 :
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ * ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
Yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
Khusyuk adalah pekerjaan hati yang boleh dicapai dengan sebab-sebab tertentu berdasarkan kehendak Allah. Antara sebab seseorang itu dapat khusyuk di dalam solat adalah dengan memperbanyakkan ingat kepada kematian terutamanya ketika hendak mengerjakan solat. Dia mengatakan di hatinya : “ mudah-mudahan solat yang aku kerjakan ini adalah solat yang terakhir buat diriku. Mungkin aku tidak akan hidup lagi setelah ini.” Dengan ini, hatinya menjadi takut kepada Allah taala. Di sebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya :
أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ الْمَوْت
Yang bermaksud, “Perbanyaklah kamu mengingati pemutus kelazatan yaitu kematian”.
Khusyuk bermaksud menghadirkan rasa takut kepada Allah taala atau menghadirkan di dalam hati rasa kasih kepadaNya serta mengagungkanNya.
Berhubung dengan soalan saudara lagi, saudara hendaklah membezakan dua perkara yang sering kali disalah ertikan oleh sebahagian orang iaitu niat dan lintasan.
Niat (النية) bermaksud sesuatu yang datang di hati seseorang dengan kehendaknya sendiri.
Manakala lintasan(الخاطر) pula, ia datang dalam hati seseorang tetapi bukan dengan kehendak di hatinya.
Ada ketikanya niat seseorang boleh memudaratkan solat dan menyebabkan solatnya terbatal.
Menurut Syeikh Abdullah al-Harari al-Habasyi dalam kitabnya Bughyah al-Thalib,jilid 1, halaman 258 :
Sesiapa yang berniat di dalam hati untuk berhenti daripada mengerjakan solat secara serta merta atau setelah berlalu selama 1 rakaat misalnya, maka batallah solatnya. Begitu juga batal solat orang yang mengantungkan niat untuk memberhentikan solat dengan sesuatu perkara seperti dia mengatakan di dalam hatinya : “ Jika berlaku begini, aku akan hentikan solat” sesungguhnya solat orang tersebut menjadi batal serta merta. Begitu juga jika ada niat yang berbelah bahagi seperti dia kata dalam hatinya “ Adakah aku mahu menghentikan solat atau atau aku mahu teruskannya!”, sesungguhnya perkara tersebut membatalkan solat. Hukum-hakam yang kita sebut disini bukan berhubung dengan orang yang semata mata terlintas di hatinya bahkan ia berkait dengan apa yang datang di hati kehendak seseorang itu sendiri (niat bukan lintasan semata-mata)”.
والله أعلم وأحكم

Thursday, August 20, 2015

Pembahagian Pusaka Antara Balu dan Anak-anak

Soalan:  Assalamualaikum
Saya telah kematian ayah. Ibu masih ada. Adik beradik 11 orang termasuk saya (5 lelaki, 6 perempuan). Datuk dan nenek sebelah ayah sudah meninggal lama. Dua orang adik saya yang paling kecil masih belum baligh.
1. Bagaimanakah pembahagian faraid?
2. Jika kami tidak berhajat menggunakan kaedah faraid, iaitu kami bercadang membahagikan harta pusaka secara muafakat. Adakah perlu menunggu sehingga adik-adik saya semua telah baligh, ataupun Ibu yang berhak membuat keputusan keatas mereka?

Jawapan:  Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Wa^alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.
Jawapan Pertama
Seorang lelaki mati meninggalkan seorang isteri dan 11 anak (5 lelaki, 6 perempuan)
16×8 128
Isteri (1/8) 16
Anak lelaki (5×2=10) 1 70 = 14/128 setiap anak lelaki
Anak perempuan (6) 7 42 = 7/128 setiap anak perempuan
Kesimpulan:
Isteri = 16/128 bahagian
Anak lelaki = 70 bahagian bersamaan 14/128 bahagian bagi seorang anak lelaki.
Anak perempuan = 42 bahagian bersamaan 7/128 bahagian bagi seorang anak perempuan.

Jawapan Kedua
Tarikah ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati secara umum atau mutlak, sama ada yang ditinggalkan oleh si mati itu berupa harta benda atau hak. Rasulullah ﷺ bersabda :
من ترك مالاً أو حقاً فهو لورثته
Yang bermaksud “ Sesiapa yang meninggalkan sesuatu hak, atau harta maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warisnya selepas kematiannya” HR al-Bukhari dan Muslim.
Dinasihatkan bahawa harta pusaka perlu dibahagikan dengan dengan cara yang disarankan oleh syarak. Allah taala telah menetapkan harta pusaka diagihkan kepada bahagian tertentu kepada individu tertentu dengan menggunakan sistem faraid bagi menjamin keselamatan harta dan kebahagiaan umat keseluruhannya. Pembahagian harta mengikut sistem ini adalah adil lagi sempurna.
Rasulullah ﷺ memberi amaran kepada umat Islam agar tidak mengabaikan ilmu ini, sabda Rasulullah ﷺ:
تعلموا الفرائض وعلموها الناس فاني امرؤ مقبوض وان العلم سيقبض وتظهر الفتن حتى يختلف الاثنين فى الفريضة لا يجدان من يقضي بها
Yang bermaksud, “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan wafat, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau (fitnah). Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka ,mereka tidak menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.(H.R al-Hakim dan mengsahihkannya, al-Baihaqi, dan selainnya).
تعلموا الفرائض وعلموها فانه نصف العلم وانه ينسى وهو أول ما ينزع من أمتى
Yang bermaksud, “ Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah dia kepada orang lain, kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada ilmu agama, dan ia akan dilupakan orang serta ia merupakan ilmu mula-mula yang akan dicabut daripada umatku. (H.R Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abi Hurairah).
Jika pembahagian harta tersebut tidak dibuat mengikut sistem yang disarankan oleh Allah taala, dibimbangi pengagihan tersebut tidak akan membawa pendamaian dan kebahagiaan serta tiada keadilan berlaku. Antara kesan buruknya adalah :
• Dibimbangi harta tersebut teragih kepada orang yang bukan ahli waris seperti anak angkat, anak yang tidak sah taraf atau kepada orang yang sepatutnya terhijab.
• Harta diagihkan kepada waris yang telah murtad sedangkan dia tidak layak menerimanya.
• Harta tersebut dibimbangi akan diwarisi oleh ahli waris yang membunuhnya padahal dia sewajarnya terhalang daripada menerima harta pusaka si mati berdasarkan pendapat ulama.
Walaubagaimanapun, jika ahli waris yang telah baligh semuanya bersetuju membahagikan harta pusaka secara sama rata dan mereka merelakan bahagiannya dibahagikan dengan cara tersebut atas nama sedekah, hukumnya tidak mengapa. Namun, jika berlaku pertelingkahan di antara mereka, maka kembalilah kepada pembahagian yang disarankan di dalam al-Quran berdasarkan sistem faraid. Ianya lebih berkat dan menjamin kebahagiaan yang berpanjangan.
والله أعلم وأحكم

Saturday, August 15, 2015

Makmum Lambat, Tercicir Di Belakang Imam

Soalan:  Assalamualaikum.
Ketika solat berjemaah, kadang kala saya lambat dalam membaca Al-Fatihah.
Imam telah rukuk, iktidal, dan sujud, manakala saya masih lagi berdiri untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah saya.
Bilakah solat saya terbatal jika tertinggal beberapa rukun bersama imam?
Apakah yang perlu saya lakukan dalam keadaan ini?
Wassalam
 
Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Wa^alaikumussalamWarahmatullahiWabarakatuh.
Al-Muhaddith Syaikh Abdullah Al-Harari al-Habasyi dalam kitabnya Bughyah al-Thalib jilid 1 halaman 323 :
“ Sesungguhnya antara perkara yang membatalkan solat ialah makmum tertinggal daripada imam lebih daripada 3 rukun yang panjang seperti rukuk dan dua sujud. Misalnya imam telah rukuk, kemudian dia iktidal, kemudian dia condongkan dirinya untuk sujud lalu dia melakukan sujud yang pertama dan sujud yang kedua, seterusnya dia mula bertasyahhud atau bangun untuk rakaat yang lain manakala makmum pula belum lagi selesai menyempurnakan bacaan Fatihahnya maka hal ini membatalkan solatnya kerana dia telah tertinggal daripada imam lebih daripada 3 rukun yang panjang.
Jika dia tertinggal disebabkan ada keuzuran tertentu seperti dia lupa bahawa dia berada dalam solat atau dia lupa bahawa dia sedang mengikut imamnya, selagi imam tersebut belum masuk ke dalam rukun yang ke empat maka hendaklah makmum tersebut berusaha mengikut tertib/aturan solatnya.
Jika dia belum menyelesaikan bacaan fatihahnya manakala imam telah pun mengangkat kepalanya daripada sujud yang kedua menuju kepada qiyam yang berikutnyanya atau duduk hendaklah dia meninggalkan tertib/aturannya tersebut iaitu makmum tidaklah perlu lagi menyempurnakan fatihahnya bahkan dia hendaklah menyamakan dirinya dengan imam iaitu berada dalam posisi imam dan rakaat tersebut dikira telah luput daripadanya. Kemudian dia hendaklah mendatangkan rakaat lain setelah salam yang dilakukan oleh imamnya. Antara keuzuran yang dimaksudkan di sini adalah seseorang makmum itu mengalami bacaan yang lambat iaitu lidahnya tidak membantunya untuk membaca surah al-Fatihah dengan cepat”.
والله أعلم وأحكم

Friday, August 14, 2015

Dakwat melekat di jari. Adakah sah wuduk?

Soalan: Assalamualaikum,
Setelah baru selesai mandi wajib, saya terlihat kesan dakwat pen di jari saya.
Bagaimanakah dengan wudhu dan mandi saya?

Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

wa^alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.Terima kasih kepada saudara yang bertanya.
Dari sudut hukum, bahan yang terkena anggota wudhuk atau anggota mandi wajib dilihat dari beberapa sudut:
1. Bahan tersebut menghalangkan air daripada sampai ke anggota wuduk dan mandi wajib seperti ia membentuk suatu lapisan pada anggota wudhuk dan anggota mandi wajib.
2. Ia tidak menghalangkan air daripada sampai ke anggota wuduk dan mandi wajib. Bahan ini tidak membentuk sebarang lapisan pada anggota wuduk dan anggota mandi wajib.
Jika bahan yang melekat tersebut membentuk lapisan pada kulit seperti cat maka wuduk dan mandi wajib tersebut tidak sah kerana air terhalang dan tidak sampai ke anggota wuduk dan anggota mandi wajib. Wudhuk yang diambil dan mandi wajib yang dilakukan yang tidak sah selagimana kotoran tersebut masih tidak ditanggalkan.
Manakala jika kotoran tersebut tidak membentuk lapisan pada kulit seperti inai biasa (الحناء) dan dakwat pen, maka wuduk dan mandi wajib yang dilakukannya sah kerana air dapat sampai ke anggota wuduk dan anggota mandi wajib tanpa ada sebarang halangan.
Menurut al-Muhaddith al-Faqih al-Arif Billah As-Syeikh Abdullah al-Harari al-Habasyi di dalam Umdah ar-Raghib, halaman 160 :
“ Dan disyaratkan (sah solat) itu dengan ketiadaan penghalang untuk menyampaikan air ke anggota yang dibasuh atau disapu ( ketika berwuduk) seperti lemak yang tebal melekit pada kulit yang boleh menghalang sampainya air kepadanya (seperti juga lilin dan minyak gris). Juga perkara yang boleh menghalang sampainya air iaitu sesuatu yang diletakkan oleh wanita di atas permukaan kuku-kuku mereka yang dinamakan sebagai al-Manakir (pewarna kuku yang berwarna-warni seperti cutex).
والله أعلم وأحكم

Wednesday, August 12, 2015

Bolehkah Sujud Sahwi Selepas Salam?

Soalan:  Assalamualaikum.
Bolehkah saya sujud sahwi selepas salam?
Cth:
Saya solat terlebih rakaat, tetapi terlupa juga untuk sujud sahwi sebelum salam.

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Wa^alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.
Ya, saudara boleh melakukan sujud sahwi setelah salam tersebut jika tidak berlaku jangka waktu yang panjang antara salam dengan sujud sahwi tersebut dan boleh mengulangi salam kembali setelah itu. Namun, jika dipisah dengan jangka waktu yang panjang maka tidak perlu lagi melakukan sujud sahwi.
والله أعلم وأحكم

Sunday, August 9, 2015

Hukum Menderma Darah Kepada Bukan Islam?

Soalan:  Assalamualaikum.
1. Seorang muslim yang menderma darah, bolehkah darahnya diberikan kepada bukan-muslim.
2. Bagaimana pula jika menderma darah, kemudian darah dihantar ke blood bank, dan kita tidak tahu siapa yang akan mendapatnya?

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Wa^alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.
Jawapan Pertama
Haram menjual najis walau apa jua jenis najis sekalipun. Hal tersebut seperti darah. Sesungguhnya darah adalah najis berdasarkan kesepakatan ulama atas keharaman memakannya. Justeru, tidak sahih apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia yang menjual darah mereka kepada yang memerlukannya di hospital-hospital dan selainnya. Yang dimaksudkan dengan najis di sini adalah najis ain (dirinya sendiri adalah najis). Hukum al-Mutanajjis (benda yang terkena najis) yang tidak mungkin dibasuh dengan air pula adalah sama sahaja dengan najis ain. Adapun menderma darah, maka ia adalah sesuatu yang harus di dalam agama Islam, sesiapa yang ingin mendapatkan darah hendaklah dia mendapatkannya atau memperolehinya dengan cara pendermaan.
Jawapan Kedua
Apa yang mampu kita lakukan kepada mereka yang memerlukan darah ialah kita mendermanya kepada mereka. Setelah itu kita bertawakkal kepada Allah dan menyerahkan pengurusan seterusnya kepada pihak yang pakar dalam bidang tersebut untuk menyampaikannya kepada yang memerlukan.
والله أعلم وأحكم