Saturday, August 15, 2015

Makmum Lambat, Tercicir Di Belakang Imam

Soalan:  Assalamualaikum.
Ketika solat berjemaah, kadang kala saya lambat dalam membaca Al-Fatihah.
Imam telah rukuk, iktidal, dan sujud, manakala saya masih lagi berdiri untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah saya.
Bilakah solat saya terbatal jika tertinggal beberapa rukun bersama imam?
Apakah yang perlu saya lakukan dalam keadaan ini?
Wassalam
 
Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Wa^alaikumussalamWarahmatullahiWabarakatuh.
Al-Muhaddith Syaikh Abdullah Al-Harari al-Habasyi dalam kitabnya Bughyah al-Thalib jilid 1 halaman 323 :
“ Sesungguhnya antara perkara yang membatalkan solat ialah makmum tertinggal daripada imam lebih daripada 3 rukun yang panjang seperti rukuk dan dua sujud. Misalnya imam telah rukuk, kemudian dia iktidal, kemudian dia condongkan dirinya untuk sujud lalu dia melakukan sujud yang pertama dan sujud yang kedua, seterusnya dia mula bertasyahhud atau bangun untuk rakaat yang lain manakala makmum pula belum lagi selesai menyempurnakan bacaan Fatihahnya maka hal ini membatalkan solatnya kerana dia telah tertinggal daripada imam lebih daripada 3 rukun yang panjang.
Jika dia tertinggal disebabkan ada keuzuran tertentu seperti dia lupa bahawa dia berada dalam solat atau dia lupa bahawa dia sedang mengikut imamnya, selagi imam tersebut belum masuk ke dalam rukun yang ke empat maka hendaklah makmum tersebut berusaha mengikut tertib/aturan solatnya.
Jika dia belum menyelesaikan bacaan fatihahnya manakala imam telah pun mengangkat kepalanya daripada sujud yang kedua menuju kepada qiyam yang berikutnyanya atau duduk hendaklah dia meninggalkan tertib/aturannya tersebut iaitu makmum tidaklah perlu lagi menyempurnakan fatihahnya bahkan dia hendaklah menyamakan dirinya dengan imam iaitu berada dalam posisi imam dan rakaat tersebut dikira telah luput daripadanya. Kemudian dia hendaklah mendatangkan rakaat lain setelah salam yang dilakukan oleh imamnya. Antara keuzuran yang dimaksudkan di sini adalah seseorang makmum itu mengalami bacaan yang lambat iaitu lidahnya tidak membantunya untuk membaca surah al-Fatihah dengan cepat”.
والله أعلم وأحكم

No comments:

Post a Comment