Wednesday, May 6, 2015

Membasuh pakaian bernajis dengan mesin basuh?

Soalan: Assalamualaikum.
Apakah pendapat tuan mengenai Mesin Basuh Kain moden? Ada yang mempunyai fungsi ‘3x bilas’. Ada yg mempunyai fungsi ‘overflow rinse’.
Adakah mesin ini dapat mensucikan najis?
Wassalam


Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Pakaian yang akan dibasuh dengan menggunakan mesin basuh sama ada :
1. Terkena najis
2. Atau tidak

Pakaian Tidak Terkena Najis

Sekiranya pakaian tersebut tidak terkena sebarang najis walaupun kotor maka tidak timbul sebarang masalah menggunakan mesin basuh tersebut iaitu pakaian yang dibasuh dengan mesin basuh itu hukumnya tetap suci boleh digunakan untuk melakukan solat walaupun pakaian tersebut tidak dibilas.

Pakaian Yang Terkena Najis

Najis yang masih ada pada pakaian dibuang terlebih dahulu dan dibilas tempat yang terkena najis sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh terutama mesin auto yang sistem bilasannya tidak ada proses pengaliran (السيلان) seterusnya air tidak keluar ketika aktiviti basuhan berjalan. Masalah timbul apabila mesin basuh itu digunakan untuk membasuh pakaian yang terkena najis tanpa membilasnya terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh, maka hukum pakaian yang dibasuhnya itu tidak suci kerana menurut Mazhab Syafie pakaian yang terkena najis itu dibasuh dengan air yang tidak sampai 2 qullah dalam takungan mesin basuh itu dan semua pakaian bernajis tadi akan bercampur dengan pakaian yang tidak terkena najis. Maka hukumnya adalah semuanya mutanajjis (bernajis).
Pakaian yang terbukti secara nyata terkena najis seperti air kencing, darah, mazi dan sebagainya, maka hendaklah dibersihkan atau dibuang najisnya (‘ainnya sehingga hilang rasa, warna dan baunya) dengan cara dibasuhnya bersungguh-sungguh secara berasingan dan dibilas terlebih dahulu, kemudian barulah dimasukkan dalam mesin basuh bersama pakaian yang lain. Basuhan dengan mesin adalah memadai lagi suci pada neraca Islam.
Hal ini adalah kerana Mazhab Shafie menekankan istilah berkenaan “air dua qullah” berdasarkan hadith daripada Ibnu Umar, katanya: Bersabda Rasulullah ﷺ :
إذا كان الماء قلتين لم يحمل الخبث
Yang bermaksud, “ Bila air telah sampai dua kolah, ia tidak mengandungi najis.” HR ibn Hibban dan dia mensahihkannya. Maksud hadith ini adalah jika air isipadunya dalam suatu bekas sampai 2 qullah ( lebih kurang 204 liter) atau lebih semata-mata terkena najis, tidak menjadi najis jika ia tidak berubah. Namun jika air dalam bekas tersebut isi padunya kurang daripada 2 qullah semata-mata terkena najis, air tersebut jadi mutanajjis (bernajis) walaupun ia tidak berubah.
Peringatan : Perkara yang amat penting yang perlu diambil kira ketika membasuh apa jua pakaian yang terkena najis, mestilah mengalirkan air mutlak pada pakaian tersebut pada bilasan yang terakhir atau boleh juga mencelup pada air yang banyak yang melebihi dua qullah.
والله أعلم وأحكم

Faraid atau muafakat?

Soalan: Assalamualaikum.
Harta Pusaka. Bolehkah ianya dibahagikan secara muafakat antara pewaris, tidak menggunakan kaedah Faraid?
Wassalam


Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Tarikah ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati secara umum atau mutlak, sama ada yang ditinggalkan oleh si mati itu berupa harta benda atau hak. Rasulullah ﷺ bersabda :
من ترك مالاً أو حقاً فهو لورثته
Yang bermaksud “ Sesiapa yang meninggalkan sesuatu hak, atau harta maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warisnya selepas kematiannya” HR al-Bukhari dan Muslim.
Dinasihatkan bahawa harta pusaka perlu dibahagikan dengan dengan cara yang disarankan oleh syarak. Allah taala telah menetapkan harta pusaka diagihkan kepada bahagian tertentu kepada individu tertentu dengan menggunakan sistem faraid bagi menjamin keselamatan harta dan kebahagiaan umat keseluruhannya. Pembahagian harta mengikut sistem ini adalah adil lagi sempurna.
Rasulullah ﷺ memberi amaran kepada umat Islam agar tidak mengabaikan ilmu ini, sabda Rasulullah ﷺ:
تعلموا الفرائض وعلموها الناس فاني امرؤ مقبوض وان العلم سيقبض وتظهر الفتن حتى يختلف الاثنين فى الفريضة لا يجدان من يقضي بها
Yang bermaksud, “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan wafat, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau (fitnah). Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka ,mereka tidak menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.(H.R al-Hakim dan mengsahihkannya, al-Baihaqi, dan selainnya).
تعلموا الفرائض وعلموها فانه نصف العلم وانه ينسى وهو أول ما ينزع من أمتى
Yang bermaksud, “ Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah dia kepada orang lain, kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada ilmu agama, dan ia akan dilupakan orang serta ia merupakan ilmu mula-mula yang akan dicabut daripada umatku. (H.R Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abi Hurairah).
Jika pembahagian harta tersebut tidak dibuat mengikut sistem yang disarankan oleh Allah taala, dibimbangi pengagihan tersebut tidak akan membawa pendamaian dan kebahagiaan serta tiada keadilan berlaku. Antara kesan buruknya adalah :
• Dibimbangi harta tersebut teragih kepada orang yang bukan ahli waris seperti anak angkat, anak yang tidak sah taraf atau kepada orang yang sepatutnya terhijab.
• Harta diagihkan kepada waris yang telah murtad sedangkan dia tidak layak menerimanya.
• Harta tersebut dibimbangi akan diwarisi oleh ahli waris yang membunuhnya padahal dia sewajarnya terhalang daripada menerima harta pusaka si mati berdasarkan pendapat ulama.
Walaubagaimanapun, jika ahli waris yang telah baligh semuanya bersetuju membahagikan harta pusaka secara sama rata dan mereka merelakan bahagiannya dibahagikan dengan cara tersebut atas nama sedekah, hukumnya tidak mengapa. Namun, jika berlaku pertelingkahan di antara mereka, maka kembalilah kepada pembahagian yang disarankan di dalam al-Quran berdasarkan sistem faraid. Ianya lebih berkat dan menjamin kebahagiaan yang berpanjangan.
والله أعلم وأحكم

Tuesday, May 5, 2015

Dimanakah arah pandangan mata ketika RUKUK dan SUJUD?

Soalan:  Assalamualaikum.
Dimanakah arah pandangan mata ketika Rukuk dan Sujud?

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ketika solat kita disunatkan menundukkan wajah dengan melihat ke tempat sujud sama ada ketika berdiri, rukuk dan sujud. Hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Hakim :
كان صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا صلى؛ طأطأ رأسه، ورمى ببصره نحو الأرض
Yang bermaksud, “Adalah Rasulullah ﷺ menundukkan kepala baginda dan melontarkan pandangannya ke bumi (tempat sujud)”. Dalam hadith lain :
“Tatkala Nabi ﷺ memasuki kaabah, nabi tidak mengangkat pandangan matanya dari tempat sujud sehinggalah Baginda keluar darinya”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Dinyatakan dalam “Fathul `Allam bi Syarhi Mursyidil Anaam”, karangan Muhammad Abdullah al-Jurdani, jilid ke-2, halaman 359 – 360 :
“Di antara sunnat haiah dalam solat adalah memandang ke tempat sujud walaupun ketika solat di sisi Ka’bah. Berbeza dengan pendapat yang dipegang oleh Imam al-Mawardi dan orang yang mengikutinya yang berpendapat bahawa orang yang solat di sisi Ka`bah disunatkan memandang kepada Ka’bah.
Perbuatan memandang ke arah tempat sujud ini disunatkan dalam seluruh solat tersebut daripada awal sehingga akhirnya melainkan ketika mengucapkan “illa Allah” dalam tasyahhud. Maka ketika itu, sunat memandang kepada jari telunjuk yang diangkat walaupun ianya tertutup (jari telunjuk tersebut terlindung di bawah kain seperti rida` yang digunakan oleh orang yang bersolat) berdasarkan kepada hadith yang sahih. Dan berkekalan memandang kepadanya selama ianya diangkat dan hendaklah (jari telunjuk tadi) diangkat sehinggalah orang bersolat tersebut berdiri untuk rakaat seterusnya ketika tasyahhud awwal dan sehingga orang yang bersolat mengucapkan salam ketika tasyahhud akhir.”
Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.
Setelah diteliti hadith-hadith yang terdapat dalam bab ini, maka dapat difahami bahawa tujuan asas daripada tindakan melihat ke tempat sujud ini adalah untuk :
1) Mendatangkan khusyuk di dalam solat.
2) Menimbulkan rasa rendah diri. Menghilangkan gangguan luar yang boleh menjejaskan solat dan memfokuskan perhatian terhadap pekerjaan solat.
3) Menghilangkan rasa sombong.
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat yang sangat mulia.
والله أعلم وأحكم

Sunday, May 3, 2015

Kemusykilan aurat ketika Solat

Soalan:  Assalamualaikum.
Saya selalu bersolat dengan kain pelikat. Ketika sujud, adakah batal solat saya jika pangkal lutut saya telah dinampaki oleh jemaah dari belakang?

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Menurut Syeikh Abdullah Al- Harari al-Habasyi dalam Bughyah al-Thalib, jilid 1 halaman 249 ketika menyenaraikan syarat -syarat sah solat :
وَالسَّتْرُ بِمَا يَسْتُرُ لَوْنَ الْبَشَرَةِ لِجَمِيْعِ بَدَنِ الحُرَّةِ إِلَّا الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ وَبِمَا يَسْتُرُ مَا بَيْنَ السُرَّةِ وَالرُّكْبَةِ لِلذَّكَرِ وَالْأَمَةِ مِنْ كُلِّ الْجَوَانِبِ لَا الْأَسْفَلِ.
Yang bermaksud, ” Dan menutup aurat dengan sesuatu yang menutup warna kulit bagi seluruh badan wanita yang merdeka melainkan wajah dan telapak tangan [hingga pergelangan tangan] dan sesuatu yang menutupi aurat di antara pusat dan lutut bagi lelaki dan hamba perempuan, dari semua sudut melainkan bahagian bawah”.
Aurat di dalam solat hendaklah ditutupi dari semua arah melainkan arah bawah kerana jika seseorang memakai kain pelikat, kain tersebut memang dapat menutupi arah atas dan arah sekelilingnya tetapi ia tidak menutupi arah bawah. Solat seseorang itu yang memakai kain pelikat tetap sah.
Menurut Syeikh Abdullah Al- Harari al-Habasyi lagi dalam Bughyah al-Thalib, jilid 1 halaman 250 :
وهذا الستر المشترط انما هو من الأعلى والجوانب لا من الأسفل،فإنه لو صلى الشخص على مكان مرتفع وكانت ترى عورته لمن نظر من أسفل لكنها لا ترى من الأعلى والجوانب صحّت صلاته
Yang bermaksud, ” Sesungguhnya menutup aurat yang disyaratkan adalah menutupi pada bahagian atas dan sekelilingnya bukan bahagian bawahnya kerana jika seseorang mengerjakan solat di tempat yang tinggi dan kelihatan auratnya bagi mereka yang berada di bahagian bawahnya tetapi pada bahagian arah atas dan sekelilingnya pula tidak kelihatan, maka sah solatnya”.
والله أعلم وأحكم