Soalan: Assalamualaikum.
Dimanakah arah pandangan mata ketika Rukuk dan Sujud?
Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ketika solat kita disunatkan menundukkan wajah dengan melihat ke tempat sujud sama ada ketika berdiri, rukuk dan sujud. Hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Hakim :
كان صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا صلى؛ طأطأ رأسه، ورمى ببصره نحو الأرض
Yang bermaksud, “Adalah Rasulullah ﷺ menundukkan kepala baginda dan melontarkan pandangannya ke bumi (tempat sujud)”. Dalam hadith lain :
“Tatkala Nabi ﷺ memasuki kaabah, nabi tidak mengangkat pandangan matanya dari tempat sujud sehinggalah Baginda keluar darinya”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Dinyatakan dalam “Fathul `Allam bi Syarhi Mursyidil Anaam”, karangan Muhammad Abdullah al-Jurdani, jilid ke-2, halaman 359 – 360 :
“Di antara sunnat haiah dalam solat adalah memandang ke tempat sujud walaupun ketika solat di sisi Ka’bah. Berbeza dengan pendapat yang dipegang oleh Imam al-Mawardi dan orang yang mengikutinya yang berpendapat bahawa orang yang solat di sisi Ka`bah disunatkan memandang kepada Ka’bah.
Perbuatan memandang ke arah tempat sujud ini disunatkan dalam seluruh solat tersebut daripada awal sehingga akhirnya melainkan ketika mengucapkan “illa Allah” dalam tasyahhud. Maka ketika itu, sunat memandang kepada jari telunjuk yang diangkat walaupun ianya tertutup (jari telunjuk tersebut terlindung di bawah kain seperti rida` yang digunakan oleh orang yang bersolat) berdasarkan kepada hadith yang sahih. Dan berkekalan memandang kepadanya selama ianya diangkat dan hendaklah (jari telunjuk tadi) diangkat sehinggalah orang bersolat tersebut berdiri untuk rakaat seterusnya ketika tasyahhud awwal dan sehingga orang yang bersolat mengucapkan salam ketika tasyahhud akhir.”
Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.
Setelah diteliti hadith-hadith yang terdapat dalam bab ini, maka dapat difahami bahawa tujuan asas daripada tindakan melihat ke tempat sujud ini adalah untuk :
1) Mendatangkan khusyuk di dalam solat.
2) Menimbulkan rasa rendah diri. Menghilangkan gangguan luar yang boleh menjejaskan solat dan memfokuskan perhatian terhadap pekerjaan solat.
3) Menghilangkan rasa sombong.
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat yang sangat mulia.
والله أعلم وأحكم
No comments:
Post a Comment