Soalan: Assalamualaikum.
Harta Pusaka. Bolehkah ianya dibahagikan secara muafakat antara pewaris, tidak menggunakan kaedah Faraid?
Wassalam
Harta Pusaka. Bolehkah ianya dibahagikan secara muafakat antara pewaris, tidak menggunakan kaedah Faraid?
Wassalam
Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Tarikah ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati secara umum atau mutlak, sama ada yang ditinggalkan oleh si mati itu berupa harta benda atau hak. Rasulullah ﷺ bersabda :
من ترك مالاً أو حقاً فهو لورثته
Yang bermaksud “ Sesiapa yang meninggalkan sesuatu hak, atau harta maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warisnya selepas kematiannya” HR al-Bukhari dan Muslim.
Dinasihatkan bahawa harta pusaka perlu dibahagikan dengan dengan cara yang disarankan oleh syarak. Allah taala telah menetapkan harta pusaka diagihkan kepada bahagian tertentu kepada individu tertentu dengan menggunakan sistem faraid bagi menjamin keselamatan harta dan kebahagiaan umat keseluruhannya. Pembahagian harta mengikut sistem ini adalah adil lagi sempurna.
Rasulullah ﷺ memberi amaran kepada umat Islam agar tidak mengabaikan ilmu ini, sabda Rasulullah ﷺ:
تعلموا الفرائض وعلموها الناس فاني امرؤ مقبوض وان العلم سيقبض وتظهر الفتن حتى يختلف الاثنين فى الفريضة لا يجدان من يقضي بها
Yang bermaksud, “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan wafat, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau (fitnah). Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka ,mereka tidak menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.(H.R al-Hakim dan mengsahihkannya, al-Baihaqi, dan selainnya).
تعلموا الفرائض وعلموها فانه نصف العلم وانه ينسى وهو أول ما ينزع من أمتى
Yang bermaksud, “ Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah dia kepada orang lain, kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada ilmu agama, dan ia akan dilupakan orang serta ia merupakan ilmu mula-mula yang akan dicabut daripada umatku. (H.R Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abi Hurairah).
Jika pembahagian harta tersebut tidak dibuat mengikut sistem yang disarankan oleh Allah taala, dibimbangi pengagihan tersebut tidak akan membawa pendamaian dan kebahagiaan serta tiada keadilan berlaku. Antara kesan buruknya adalah :
• Dibimbangi harta tersebut teragih kepada orang yang bukan ahli waris seperti anak angkat, anak yang tidak sah taraf atau kepada orang yang sepatutnya terhijab.
• Harta diagihkan kepada waris yang telah murtad sedangkan dia tidak layak menerimanya.
• Harta tersebut dibimbangi akan diwarisi oleh ahli waris yang membunuhnya padahal dia sewajarnya terhalang daripada menerima harta pusaka si mati berdasarkan pendapat ulama.
Walaubagaimanapun, jika ahli waris yang telah baligh semuanya bersetuju membahagikan harta pusaka secara sama rata dan mereka merelakan bahagiannya dibahagikan dengan cara tersebut atas nama sedekah, hukumnya tidak mengapa. Namun, jika berlaku pertelingkahan di antara mereka, maka kembalilah kepada pembahagian yang disarankan di dalam al-Quran berdasarkan sistem faraid. Ianya lebih berkat dan menjamin kebahagiaan yang berpanjangan.
والله أعلم وأحكم
No comments:
Post a Comment