Thursday, January 18, 2018

Perlukah sujud sahwi jika Imam tak buat?

PERLUKAH SUJUD SAHWI JIKA IMAM MENINGGALKANNYA ?

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz, apakah hukum jika imam tertinggal qunut subuh dan tidak melakukan sujud sahwi atau sengaja meninggalkannya, adakah wajib kita sujud sahwi selepas imam memberi salam ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, perlulah kita ketahui apakah definisi sujud sahwi dan keadaan-keadaan yang menyebabkan berlakunya sujud sahwi.

Menurut kitab al-Feqh al-Manhaji : Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya. Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa. Dan sujud - tempatnya di penghujung solat - sebagai jabr (suatu yang menguatkan) kekurangan tersebut. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (1/172).

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ : الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: Nabi S.A.W mengimamkan solat zohor atau asar bersama kami. Kemudian baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi : Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya ? Maka Nabi S.A.W bersabda : Benarkah apa yang dia katakan ? Maka para sahabat pun berkata : Ya. Lalu baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.

Riwayat al-Bukhari (1169).

Di antara sebab yang menuntut kepada sujud sahwi adalah: Seseorang itu meninggalkan salah satu dari sunat ab’adh di dalam solat. Sunat-sunat ab’adh di dalam solat adalah beberapa perkara berikut:

• Al-Tasyahhud Al-Awwal
• Selawat ke atas Nabi S.A.W selepas tasyahhud yang pertama.
• Duduk untuk tasyahhud awal.
• Selawat ke atas ahli keluarga Nabi S.A.W sesudah tasyahhud akhir.
• Qunut semasa i’tidal pada rakaat kedua solat fajar.

Di antara dalil yang menguatkannya adalah sebuah riwayat daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُم مِنَ الرّكْعَتَينِ فَلَمْ يَسْتَتِمَّ قَائِمًا فَلْيَجْلِسْ ، وَإِذَا اسْتَتَمَّ قَائِمًا فَلَا يَجْلِسْ ، وَيَسْجُدْ سَجْدَتَي السَّهْوِ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu bangun daripada dua rakaat, dan masih belum berdiri sempurna maka hendaklah dia duduk. Dan apabila telah berdiri dalam keadaan sempurna, janganlah dia duduk serta dia sujud sebanyak dua kali sujud sahwi.

Riwayat Ibn Majah (1208)

Riwayat di atas menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu terus bangun daripada tasyahhud awal, sekiranya dia telah berdiri dalam keadaan sempurna, hendaklah dia teruskan dan jangan duduk semula. Sebaliknya dia perlu melakukan sujud sahwi.

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa penjelasan dan hujah yang kami kemukakan di atas, seseorang imam yang tertinggal atau sengaja meninggalkan doa qunut semasa solat subuh, adalah disunatkan untuk dia melakukan sujud sahwi. Namun sekiranya dia tidak melakukannya, ini tidaklah membatalkan solatnya. Ini kerana, sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila berlakunya sebab-sebab yang tertentu seperti yang telah kami sebutkan.

Manakala bagi makmum pula, adalah menjadi tuntutan untuk dia mengikut imamnya dalam pergerakan solat. Sekiranya imam melakukan sujud sahwi, hendaklah dia turut melakukannya. Namun sekiranya imam tidak melakukan sujud sahwi (apabila telah berlaku sebab yang menuntut), maka tidak perlu untuk makmum melakukannya setelah imam memberi salam. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

Pautan di laman web PMWP https://goo.gl/36T7fs

Friday, January 12, 2018

Kunyah 40 kali


KUNYAH 40 KALI DAN MENJILAT JARI SELEPAS MAKAN

Soalan: Apakah benar dakwaan sunnah menguyah sebanyak 40 kali sebelum menelan?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkaitan soalan di atas, kami menjawabnya berdasarkan apa yang telah dijawab oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam fatwanya kerana beliau pernah ditanya soalan yang hampir sama iaitu adakah benar Nabi SAW memerintahkan untuk mengecilkan makanan serta menghancurkannya ( dalam mulut sebelum ditelan) ketika makan.

Imam al-Nawawi menjawab persoalan di atas dengan menyatakan:

“Tidak ada langsung hadith yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain dan ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang dhaif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedangkan makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik.” [Lihat: al-Manthurat, 104]

Adapun berkaitan menjilat jari selepas daripada makan ada dinyatakan di dalam hadith yang sahih. Antaranya:

• Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.” [Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)]

Makna hadith ini adalah larangan seseorang itu menyapu (membersihkan) tangannya sehinggalah dia menjilatnya terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak melakukan hal sedemikian, maka (janganlah dia membersihkan tangannya) hendaklah orang lain yang menjilatnya yang mana mereka itu tidak berasa geli atau kotor (dengan perbuatan tersebut) seperti isteri, hamba, anak dan khadam yang kasih kepadanya dan seronok dengan perbuatan tersebut tanpa berasa geli atau kotor. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 206/13]

Antara hikmah dituntut untuk menjilat jari selepas daripada makan sebagaimana dinyatakan oleh Imam Badr al-Din al-‘Aini pernah menyebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” [Riwayat Muslim (2035)]

Selain itu juga, beliau menyatakan lagi cara menjilat jari adalah bermula dengan jari tengah, kemudian telunjuk dan seterusnya ibu jari. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثِ: بِالْإِبْهَامِ، وَالَّتِي تَلِيهَا، وَالْوُسْطَى، ثُمَّ رَأَيْتُهُ يَلْعَقُ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ قَبْلَ أَنْ يَمْسَحَهَا، وَيَلْعَقُ الْوُسْطَى، ثُمَّ الَّتِي تَلِيهَا، ثُمَّ الْإِبْهَامَ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari tengah. Kemudian, aku juga telah melihatnya menjilat tiga jarinya sebelum menyapunya (membersihkannya). Baginda SAW menjilat jari tengah, kemudian selepas daripada itu (jari telunjuk) dan juga ibu jari. [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (1649)] [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 76-77/21]

Penutup
Kesimpulannya, sekali lagi kami nyatakan bahawa menguyah sebanyak 40 kali sebelum ditelan tidak mempunyai sandaran yang sahih daripada agama ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam fatwanya. Akan tetapi, hal tersebut adalah baik jika tujuannya adalah untuk perkara-perkara yang baik sepertimana yang kami jelaskan di atas. Tambahan pula, menjilat jari selepas daripada makan adalah sunnah kerana terdapat hadith yang sahih menceritakan akan hal tersebut. Akhirnya, semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman dan manfaat kepada kita terutamanya di dalam agama serta melayakkan kita untuk mendapatkan syurga Allah SWT yang kekal abadi di akhirat kelak. Amin.

Wallahua’lam

Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/iGf2hD

Batalkah Solat Apabila Bersentuh Dengan Kanak-kanak?

HUKUM MENYENTUH ANAK KETIKA SOLAT.

Persoalan tentang menyentuh anak ketika solat merupakan isu yang sering ditimbulkan oleh para ibu dan wanita yang kehidupan seharian mereka tidak dapat dipisahkan dari anak-anak. Untuk mengelakkannya adalah sangat sukar bagi sesetengah mereka. Oleh itu masalah ini memerlukan kajian dan perbincangan yang terbuka dan rasional, berdasarkan pandangan alim ulama’ muktabar dahulu dan sekarang.

Anak Yang Belum Berkhitan.

Masyarakat kita sering memandang kepada anak-anak kecil yang belum berkhitan sebagai sesuatu yang menanggung najis dan boleh membatalkan solat orang yang tersentuh dengannya. Dia juga dikatakan boleh memutuskan saf solat jamaah.

Tetapi, sekiranya kanak-kanak itu dikatakan menanggung najis dengan sebab tidak berkhitan sudah pasti Syariat akan menerangkannya kerana ianya sangat penting di dalam kehidupan kita, sepertimana Syariat menerangkan cara membersihkan air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Apa yang patut dibincangkan ini, tidak pula disebutkan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar apabila membincangkan Bab al-Najasat, atau perkara-perkara yang najis, atau satu bab khas tentang “Najisnya Kanak-Kanak Yang Belum Berkhitan”. Maka apakah ianya hanya satu tanggapan masyarakat kita atau merupakan ijtihad/pandangan sesetengah ulama’ yang terdedah kepada perbincangan.

Jika diteliti hadis-hadis yang dibawa di atas yang meriwayatkan bahawa Rasulullah saw menggendong Hasan/Husain ketika solat, serta mereka naik ke atas tengkok Baginda, ini memberi maksud budak yang belum baligh tidak termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan solat.

Demikian juga hadis ini:
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula”.

Mungkin akan dibahaskan bahawa orang Arab adabnya mengkhitankan anak ketika masih bayi, tetapi ditempat kita anak-anak kebiasaannya akan berkhitan apabila habis sekolah rendah. Apakah ia menjadi kotor kerana kulup/najis yang terdapat pada anak itu?

Maka kalau dilihat kepada hukum istinjak menggunakan batu, kesannya tentu tidak habis, dan ianya dikira sebagai najis yang dimaafkan. Soalnya, apakah ia lebih suci daripada kulup? Sedangkan tiada nas/hujah yang mengatakan orang yang beristinjak dengan batu mesti duduk di saf yang berlainan.

Begitu juga Ulama tidak merenggangkan antara orang yang berpenyakit kencing tanpa henti (salis al-baul) dengan orang-orang lain. Ini menunjukkan kanak-kanak yang belum berkhitan juga tidak perlu direnggangkan. Wallahu a’lam.

Kesimpulannya, budak yang belum bersunat jika berada di dalam satu saf, ia tetap tidak membatalkan sembahyang seseorang.

Menyentuh Anak Kecil Yang Memakai Lampin.

Perbincangan tentang masalah ini juga sama seperti di atas, iaitu hadis Rasulullah saw mendukung Umamah binti Abi al-‘As dan kisah Al-Hasan dan Husain ra, kalau kita andaikan mereka berdua sudah berkhitan, apakah mereka juga sudah pandai menjaga kebersihan, pergi ke tandas sendiri atau masih menggunakan lampin seperti kanak-kanak lain.

Kemudian, sama-sama kita telitikan pula pandangan ulama’ tentang menyentuh najis secara berlapik atau menanggungnya.

Imam An-Nawawi telah menegaskan di dalam Rawdah at-Talobin dengan katanya:
“Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasadnya seperti kanak-kanak) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA” . [Rujuk Rawdah at-Tolibin, 1/274].

Alasan ia tidak membatalkan adalah kerana:-

a. Sentuhan itu tidak secara langsung dengan najis yang ditanggungi. Jika secara langsung terbatal solat seseorang itu tapi tidak wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tidak perlu memperbahurui wuduknya.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau dirinya menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana mereka bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.

Pandangan ulama’ semasa:

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Fiqh al-Islami [1/576] yang merujuk kepada kitab al-Muhazzab dan al-Majmu’ karangan Imam An-Nawawi menyebut: 

“Tiada perselisihan di dalam mazhab Syafie dan Hanafi bahawa tidak memudaratkan (membatalkan solat) membawa kanak-kanak yang tidak zahir padanya najis, maka sekiranya dia membawa haiwan yang suci dalam solatnya maka sah solatnya kerana Nabi saw membawa Umamah binti Abu al-’As di dalam solatnya. Kerana najis yang ada pada haiwan itu adalah pada tempatnya (tidak merebak keluar) dan ianya samalah dengan najis yang berada di dalam perut orang yang solat”.

Maksud daripada kenyataan ini, tidak batal solat sekiranya kita tersentuh dengan kanak-kanak yang belum berkhitan atau memakai lampin itu kecuali, terdapat najis pada pakaian atau tubuh badannnya.

Monday, January 8, 2018

Tempoh Tamatnya Waktu Isyak

SOALAN :

Ustaz, saya ingin bertanya bilakah sebenarnya habis waktu solat isyak? Katakan saya dengan sengaja atau tak sengaja bangun sebelum jam 5 pagi atau pun sebelum masuk waktu suboh dan mengerjakan solat isyak, adakah sah solat saya tersebut?

JAWAPAN :

Terdapat beberapa perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tamatnya waktu solat isyak ini. Namun begitu, pandangan yang lebih kuat, ialah, waktu berakhir bagi menunaikan solat isyak adalah sehingga pertengahan malam (iaitu pukul 12 malam).

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdulllah bin ‘Amr bin al-‘Ash, Nabi SAW bersabda:

وقت الظهر إذا زالت الشمس وكان ظل الرجل كطوله ما لم يحضر العصر، ووقت العصر ما لم تصفر الشمس، ووقت صلاة المغرب ما لم يغب الشفق، ووقت العشاء إلى نصف الليل الأوسط

Maksudnya: “Waktu Zohor apabila tergelincir matahari, sehinggalah apabila bayang-bayang seseorang lelaki sama dengan ketinggiannya, selagi belum masuk waktu ‘asar. Waktu ‘Asar pula (berterusan) sehingga belum menjadi kuning cahaya matahari. Dan waktu solat Maghrib selama-mana tidak hilangnya Syafaq dan waktu ‘Isyak pula sampai pertengahan malam yang tengah.”

Dalam riwayat lain baginda nyatakan:

ووقت العشاء إلى نصف الليل

Maksudnya: “Dan waktu ‘Isyak sampai setengah malam.” 

Wallahu a’lam.

Saturday, January 6, 2018

Bilakah waktu-waktu yang ditegah Solat?

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.


Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.


Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:

1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang qadha’, jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana
 kelebihan sembahyang itu sendiri.

Was-was, kentut atau tidak ketika solat?

Soalan:

Jika orang yang sedang solat itu ragu-ragu sama ada dia telah buang angin (kentut) atau tidak, atau dia merasakan sesuatu pergerakan dalam tubuhnya, maka adakah dia harus menghentikan solatnya atau dia teruskan saja?


Jawapan:

Kalau dia yakin yang dia memang telah buang angin (kentut), dia hendaklah menghentikan solatnya, tetapi jika dia tidak yakin atau ragu-ragu, janganlah dia menghentikan solatnya - sehingga dia benar-benar telah yakin, sama ada dengan mendengar bunyi atau mencium bau yang tidak enak. Jika dia pasti yang dia telah buang angin, dia hendaklah menghentikan solatnya, kalau tidak, maka jangan pedulikannya. Dalil mengenai hal ini adalah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

"Jika salah seorang daripada kamu sedang solat dan tiba-tiba merasakan suatu pergerakan di duburnya, dan merasa ragu-ragu samaada dia terkentut atau tidak, dia tidak perlu menghentikan solatnya sehinggalah dia mendengar bunyi atau menghidu baunya."

(Abu Daud, 177; juga lihat Sahih al-Jami'; 750.)

Ringkasnya, jika tiada bau dan bunyi, teruskan bersolat dan jangan mempedulikannya.

Adakah diterima amalan zakat dan puasa jika muslim tersebut tidak solat?

Soalan

Seorang muslim yang meninggalkan solat tetapi berpuasa, membayar zakat dan sebagainya, adakah puasa dan amalannya itu akan diterima kerana dia seorang muslim?.Bagaimana pula jika ia hanya bersolat hanya pada bulan ramadhan sahaja sedangkan bulan-bulan lain ia tidak menunaikan solat?


Jawapan

Ulama' mengatakan tidak ada gunanya kebaikkan bagi sesiapa yang meninggalkan solat, walaupun ia mengeluarkan zakat, berpuasa dan mengerjakan Haji. Didalam sebuah hadith Nabi saw, bahawa Buraydah berkata, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa yang tidak bersolat Asar, maka amalannya menjadi gugur"
[hadith riwayat Al-Bukhaari]
Hadith ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu tidak melakukan amalan Solat, maka segala kebaikan yang dilakukan tidak dapat memunafaatkannya, iaitu sia-sia belaka.

Menurut Shiekh Ibn Utsaimin (fataawa al-Siyaam, ms.87) :
Barangsiapa yang meninggalkan solat maka tidak sah puasanya, dan tidak diterima darinya! Sesungguhnya orang yang meninggalkan Solat itu kafir dan murtad, kerana Allah swt berfirman :

"Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama" [Al-Taubah: ayat-11]

Didalam Fataawa Al-Lajnah Al-Daaimah (fatwa no:102), ketika menjawab soalan
mengenai apakah hukumnya orang yang hanya berpuasa didalam bulan Ramadhan
sahaja, katanya:

"Solat adalah salah satu rukun Islam, dan ia merupakan rukun yang terpenting selepas mengucap 2 kalimah syahadah, ia merupakan Fardu Ain. Dan barangsiapa yang meninggalkannya kerana menafikan ianya wajib, atau tidak melakukannya kerana lalai dan malas, maka ia menjadi kafir."

Mengenai mereka yang berpuasa dibulan Ramadhan dan hanya bersolat dibulan Ramadhan sahaja, itu adalah menipu Allah, dan sangat malang bagi mereka yang mengenal Allah hanya didalam bulan Ramadhan, maka tidak sah puasa mereka jika mereka tidak bersolat selain dari bulan Ramadhan, bahkan menjadikan mereka itu kafir iaitu kufur yang besar, walaupun mereka tidak menafikan Solat itu wajib, menurut pandangan ulama' yang lebih sahih" [Fatawa Al-Lajnah Al-Daa'imah - 10/140].