Saturday, January 6, 2018

Bilakah waktu-waktu yang ditegah Solat?

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.


Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.


Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:

1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang qadha’, jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana
 kelebihan sembahyang itu sendiri.

No comments:

Post a Comment