KUNYAH 40 KALI DAN MENJILAT JARI SELEPAS MAKAN
Soalan: Apakah benar dakwaan sunnah menguyah sebanyak 40 kali sebelum menelan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berkaitan soalan di atas, kami menjawabnya berdasarkan apa yang telah dijawab oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam fatwanya kerana beliau pernah ditanya soalan yang hampir sama iaitu adakah benar Nabi SAW memerintahkan untuk mengecilkan makanan serta menghancurkannya ( dalam mulut sebelum ditelan) ketika makan.
Imam al-Nawawi menjawab persoalan di atas dengan menyatakan:
“Tidak ada langsung hadith yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain dan ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang dhaif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedangkan makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik.” [Lihat: al-Manthurat, 104]
Adapun berkaitan menjilat jari selepas daripada makan ada dinyatakan di dalam hadith yang sahih. Antaranya:
• Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.” [Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)]
Makna hadith ini adalah larangan seseorang itu menyapu (membersihkan) tangannya sehinggalah dia menjilatnya terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak melakukan hal sedemikian, maka (janganlah dia membersihkan tangannya) hendaklah orang lain yang menjilatnya yang mana mereka itu tidak berasa geli atau kotor (dengan perbuatan tersebut) seperti isteri, hamba, anak dan khadam yang kasih kepadanya dan seronok dengan perbuatan tersebut tanpa berasa geli atau kotor. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 206/13]
Antara hikmah dituntut untuk menjilat jari selepas daripada makan sebagaimana dinyatakan oleh Imam Badr al-Din al-‘Aini pernah menyebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” [Riwayat Muslim (2035)]
Selain itu juga, beliau menyatakan lagi cara menjilat jari adalah bermula dengan jari tengah, kemudian telunjuk dan seterusnya ibu jari. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثِ: بِالْإِبْهَامِ، وَالَّتِي تَلِيهَا، وَالْوُسْطَى، ثُمَّ رَأَيْتُهُ يَلْعَقُ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ قَبْلَ أَنْ يَمْسَحَهَا، وَيَلْعَقُ الْوُسْطَى، ثُمَّ الَّتِي تَلِيهَا، ثُمَّ الْإِبْهَامَ
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari tengah. Kemudian, aku juga telah melihatnya menjilat tiga jarinya sebelum menyapunya (membersihkannya). Baginda SAW menjilat jari tengah, kemudian selepas daripada itu (jari telunjuk) dan juga ibu jari. [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (1649)] [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 76-77/21]
Penutup
Kesimpulannya, sekali lagi kami nyatakan bahawa menguyah sebanyak 40 kali sebelum ditelan tidak mempunyai sandaran yang sahih daripada agama ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam fatwanya. Akan tetapi, hal tersebut adalah baik jika tujuannya adalah untuk perkara-perkara yang baik sepertimana yang kami jelaskan di atas. Tambahan pula, menjilat jari selepas daripada makan adalah sunnah kerana terdapat hadith yang sahih menceritakan akan hal tersebut. Akhirnya, semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman dan manfaat kepada kita terutamanya di dalam agama serta melayakkan kita untuk mendapatkan syurga Allah SWT yang kekal abadi di akhirat kelak. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/iGf2hD
No comments:
Post a Comment