Friday, January 12, 2018

Batalkah Solat Apabila Bersentuh Dengan Kanak-kanak?

HUKUM MENYENTUH ANAK KETIKA SOLAT.

Persoalan tentang menyentuh anak ketika solat merupakan isu yang sering ditimbulkan oleh para ibu dan wanita yang kehidupan seharian mereka tidak dapat dipisahkan dari anak-anak. Untuk mengelakkannya adalah sangat sukar bagi sesetengah mereka. Oleh itu masalah ini memerlukan kajian dan perbincangan yang terbuka dan rasional, berdasarkan pandangan alim ulama’ muktabar dahulu dan sekarang.

Anak Yang Belum Berkhitan.

Masyarakat kita sering memandang kepada anak-anak kecil yang belum berkhitan sebagai sesuatu yang menanggung najis dan boleh membatalkan solat orang yang tersentuh dengannya. Dia juga dikatakan boleh memutuskan saf solat jamaah.

Tetapi, sekiranya kanak-kanak itu dikatakan menanggung najis dengan sebab tidak berkhitan sudah pasti Syariat akan menerangkannya kerana ianya sangat penting di dalam kehidupan kita, sepertimana Syariat menerangkan cara membersihkan air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Apa yang patut dibincangkan ini, tidak pula disebutkan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar apabila membincangkan Bab al-Najasat, atau perkara-perkara yang najis, atau satu bab khas tentang “Najisnya Kanak-Kanak Yang Belum Berkhitan”. Maka apakah ianya hanya satu tanggapan masyarakat kita atau merupakan ijtihad/pandangan sesetengah ulama’ yang terdedah kepada perbincangan.

Jika diteliti hadis-hadis yang dibawa di atas yang meriwayatkan bahawa Rasulullah saw menggendong Hasan/Husain ketika solat, serta mereka naik ke atas tengkok Baginda, ini memberi maksud budak yang belum baligh tidak termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan solat.

Demikian juga hadis ini:
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula”.

Mungkin akan dibahaskan bahawa orang Arab adabnya mengkhitankan anak ketika masih bayi, tetapi ditempat kita anak-anak kebiasaannya akan berkhitan apabila habis sekolah rendah. Apakah ia menjadi kotor kerana kulup/najis yang terdapat pada anak itu?

Maka kalau dilihat kepada hukum istinjak menggunakan batu, kesannya tentu tidak habis, dan ianya dikira sebagai najis yang dimaafkan. Soalnya, apakah ia lebih suci daripada kulup? Sedangkan tiada nas/hujah yang mengatakan orang yang beristinjak dengan batu mesti duduk di saf yang berlainan.

Begitu juga Ulama tidak merenggangkan antara orang yang berpenyakit kencing tanpa henti (salis al-baul) dengan orang-orang lain. Ini menunjukkan kanak-kanak yang belum berkhitan juga tidak perlu direnggangkan. Wallahu a’lam.

Kesimpulannya, budak yang belum bersunat jika berada di dalam satu saf, ia tetap tidak membatalkan sembahyang seseorang.

Menyentuh Anak Kecil Yang Memakai Lampin.

Perbincangan tentang masalah ini juga sama seperti di atas, iaitu hadis Rasulullah saw mendukung Umamah binti Abi al-‘As dan kisah Al-Hasan dan Husain ra, kalau kita andaikan mereka berdua sudah berkhitan, apakah mereka juga sudah pandai menjaga kebersihan, pergi ke tandas sendiri atau masih menggunakan lampin seperti kanak-kanak lain.

Kemudian, sama-sama kita telitikan pula pandangan ulama’ tentang menyentuh najis secara berlapik atau menanggungnya.

Imam An-Nawawi telah menegaskan di dalam Rawdah at-Talobin dengan katanya:
“Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasadnya seperti kanak-kanak) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA” . [Rujuk Rawdah at-Tolibin, 1/274].

Alasan ia tidak membatalkan adalah kerana:-

a. Sentuhan itu tidak secara langsung dengan najis yang ditanggungi. Jika secara langsung terbatal solat seseorang itu tapi tidak wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tidak perlu memperbahurui wuduknya.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau dirinya menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana mereka bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.

Pandangan ulama’ semasa:

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Fiqh al-Islami [1/576] yang merujuk kepada kitab al-Muhazzab dan al-Majmu’ karangan Imam An-Nawawi menyebut: 

“Tiada perselisihan di dalam mazhab Syafie dan Hanafi bahawa tidak memudaratkan (membatalkan solat) membawa kanak-kanak yang tidak zahir padanya najis, maka sekiranya dia membawa haiwan yang suci dalam solatnya maka sah solatnya kerana Nabi saw membawa Umamah binti Abu al-’As di dalam solatnya. Kerana najis yang ada pada haiwan itu adalah pada tempatnya (tidak merebak keluar) dan ianya samalah dengan najis yang berada di dalam perut orang yang solat”.

Maksud daripada kenyataan ini, tidak batal solat sekiranya kita tersentuh dengan kanak-kanak yang belum berkhitan atau memakai lampin itu kecuali, terdapat najis pada pakaian atau tubuh badannnya.

No comments:

Post a Comment