Soalan: Assalamualaikum.
Adakah batal puasa jika sengaja telan air liur?
Wassalam
Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Air liur yang masih berada di dalam mulut ia tidak dikira sebagai perkara yang menjijikkan. Setelah air liur dikeluarkan daripada mulut, air liur tersebut dikira perkara yang menjijikkan namun ia bukan najis bahkan dikira sebagai perkara yang bersih. Walaupun ia bahan yang bersih (thahir) , tetapi ia adalah bersih yang menjijikkan.
Menurut as-Syeikh Abdullah al-Harari al-Habasyi dalam Umdah ar-Raghib, halaman 355:
“ Makan bahan bernajis adalah antara dosa yang dilakukan oleh perut seperti seseorang itu memakan darah yang mengalir, daging khinzir dan bangkai. Begitu juga haram memakan bahan yang menjijikkan (walaupun ia suci) misalnya hingus dan mani. Adapun air liur, ia menjadi bahan yang menjijikkan (yang haram dimakan) apabila terkumpul di atas sesuatu (di dalam cawan misalnya) sekira-kira menyebabkan orang yang mempunyai tabiat kemanusiaan yang normal melarikan diri daripadanya iaitu setelah keluarnya daripada mulut. Adapun selagi mana berada di dalam mulut, hukumnya tidak menjijikkan (laisa mustaqzaran)”. Perkara yang sama juga disebut oleh ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarah al-Minhaj, Syaikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam Hasyiah Jamal dan an-Nawawi dalam al-Majmu`.
Bagi orang yang menelan air liur ketika mengerjakan solat, perkara ini hendaklah ditelitikan sebagaimana keterangan berikut :
1. Menelan air liur yang bersih tanpa bercampur dengan bahan lain dan masih ada di dalam mulut. Jika seseorang itu menelan air liur ini, ia tidak membatalkan solat.
2. Menelan air liur yang sudah dikeluarkan daripada mulut kemudian dimasukkan kembali. Jika seseorang itu menelan air liur ini dalam kadar yang banyak secara sengaja, ia membatalkan solat.
3. Menelan air liur yang bercampur dengan bahan lain seperti darah atau sisa makanan. Jika seseorang itu menelan air liur ini dengan sengaja, ia membatalkan solat. Namun jika dia menelannya tanpa sengaja, maka ia tidak membatalkan solat.
Imam al-Nawawi mengatakan dalam kitabnya al-Majmu`, jilid 4 halaman 89 :
ﻭﺇﻥ ﻛﺎﻥ ﺑﻴﻦ ﺃﺳﻨﺎﻧﻪ ﺷﻲﺀ ﻓﺎﺑﺘﻠﻌﻪ ﻋﻤﺪﺍ ﺃﻭ ﻧﺰﻟﺖ ﻋﻦ ﺭﺃﺳﻪ نخاﻣﺔ ﻓﺎﺑﺘﻠﻌﻬﺎ ﻋﻤﺪﺍ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ ﺑﻼ ﺧﻼﻑ ، ﻓﺈﻥ ﺍﺑﺘﻠﻊ ﺷﻴﺌﺎ ﻣﻐﻠﻮﺑﺎ ﺑﺄﻥ ﺟﺮﻯ ﺍﻟﺮﻳﻖ ﺑﺒﺎﻗﻲ ﺍﻟﻄﻌﺎﻡ ﺑﻐﻴﺮ ﺗﻌﻤﺪ ﻣﻨﻪ ﺃﻭ ﻧﺰﻟﺖ ﺍﻟﻨﺨﺎﻣﺔ ﻭﻟﻢ ﻳﻤﻜﻨﻪ ﺇﻣﺴﺎﻛﻬﺎ ﻟﻢ ﺗﺒﻄﻞ ﺻﻼﺗﻪ ﺑﺎﻻﺗﻔﺎﻕ ، ﻭﻧﻘﻠﻪ ﺍﻟﺸﻴﺦ ﺃﺑﻮ ﺣﺎﻣﺪ ﻓﻲ ﺍﻟﺘﻌﻠﻴﻖ ﻋﻦ ﻧﺺ ﺍﻟﺸﺎﻓﻌﻲ ﻓﻲ ﻣﺴﺄﻟﺔ ﺍﻟﺮﻳﻖ ، ﻭﻧﻘﻠﻪ ﻓﻴﻬﺎ ﺃﻳﻀﺎ ﺍﻟﻘﺎﺿﻲ ﺃﺑﻮ ﺍﻟﻄﻴﺐ ﻓﻲ ﺗﻌﻠﻴﻘﻪ ﻋﻦ ﻧﺺ ﺍﻟﺸﺎﻓﻌﻲ ﻓﻲ ﺍﻟﺠﺎﻣﻊ ﺍﻟﻜﺒﻴﺮ ﻟﻠﻤﺰﻧﻲ
Yang bermaksud,
“Jika ada sesuatu dicelah-celah giginya (sisa makanan) seterusnya dia menelannya secara sengaja atau turun hingus daripada kepalanya seterusnya dia menelannya secara sengaja maka batal solatnya tanpa khilaf. Jika dia menelannya secara tidak sengaja seperti air liur yang melalukan sisa makanan tanpa disengajakan atau hingus turun daripada kepala dan dia pula tidak mampu menahannya maka tidak batal mengikut kesepakatan ulama”. Perkara ini dinukilkan oleh al-Syeikh Abu Hamid ketika membahaskan perkataan imam al-Syafie dalam persoalan air liur. Al-Qadhi Abu al-Thaiyyib juga menukilkannya ketika membahaskan perkataan imam Syafie dalam kitab al-Jamai^ al-Kabir karangan al-Muzani”.
Al-Nawawi al-Bantani menyebut di dalam kitabnya Nihayah al-Zain, Halaman 92 :
( و ) الخامس ( بمفطر ) للصوم فكل ما أبطل الصوم أبطل الصلاة وسيأتي بيانه في بابه إن شاء الله تعالى ومن ذلك ما لو كان في فمه باقي مطعوم أو مشروب فجرى به ريقه فابتلعه فإن صلاته تبطل نعم لو كان بين أسنانه طعام وعجز عن تمييزه ومجه فجرى به ريقه فنزل إلى حلقه بغير إرادته فإنه لا يضر كما في الصوم وتبطل الصلاة بأكل بضم الهمزة ولو بلا حركة ولو قليلا لشدة منافاته للصلاة لأنه يشعر بالإعراض عنها نعم لو كان ناسيا للصلاة أو جاهلا تحريمه فيها وقرب عهده بالإسلام أو نشأ بعيدا عن العلماء لا تبطل صلاته بالأكل القليل بخلاف الكثير فإنه مبطل مطلقا
Yang bermaksud,
“ Kelima, perkara yang membatalkan puasa. Setiap perkara yang membatalkan puasa, ia juga membatalkan solat. Perkara ini akan dibahaskan dalam babnya nanti insyaAllah. Antaranya, jika terdapat sisa makanan pada mulutnya atau minuman lalu air liur tersebut melalukan sisa makanan tersebut seterusnya dia menelannya maka solatnya dikira batal. Adapun jika sisa makanan tersebut ada dicelah-celah giginya dan dia tidak mampu membezakannya dan meludahkannya, lalu sisa tersebut dibawa oleh air liur sehingga turun ke halkumnya tanpa sengaja, sesungguhnya perkara tersebut tidak memudharatkan solatnya begitu juga puasanya (tidak membatalkan solat dan puasa). Dan batal hukumnya solat seseorang yang makan walaupun tanpa ada gerakan, dan meskipun sedikit jumlahnya kerana perkara tersebut menafikan solat itu sendiri. Hal ini disebabkan dia seolah olah telah memalingkan dirinya daripada solat. Ya, jika dia makan (dalam jumlah yang sedikit) kerana lupa bahawa dia sedang melakukan solat, atau kerana jahil atas keharamannya, atau dia baru sahaja memeluk Islam, atau kerana dia berada jauh daripada ulama, maka tidak terbatal solatnya dengan makan tersebut. Hal ini berbeza dengan makan dengan jumlah yang banyak sesungguhnya makan dengan jumlah yang banyak membatalkan solat secara mutlak (sama ada dalam sengaja atau tidak)”.
والله أعلم وأحكم