Saturday, April 25, 2015

Kemusykilan Arah Kiblat

Soalan:  Assalmualaikum.
Saya telah solat di surau tempat kerja saya. Setelah selesai solat, baru saya terperasan bahawa kiblat saya telah terpesong.
Adakah saya perlu mengulangi solat?

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Allah taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 144 :
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Yang bermaksud,
“Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (ka’bah)”.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah Salla Allahu Alayhi Wasallam bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Yang bermaksud,
“Jika engkau hendak mendirikan solat maka sempurnakanlah wudhukmu, kemudian hadaplah dirimu ke arah kiblat lalu bertakbirlah.” (HR al-Bukhari Muslim)
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata sejurus hadis ini,
“Hadis ini menunjukkan tidak boleh meninggalkan arah kiblat pada solat fardhu. Hal ini merupakan ijmak tetapi ada rukhsah dalam kondisi ketakutan yang amat [ketika perang].” (lihat Fathul Bari, jilid 1, halaman 501).
Mengadap kiblat adalah salah satu daripada rukun-rukun solat. Solat tidak sah tanpanya. Mengadap kiblat bermaksud menghadapkan diri ke arahnya dengan dada ketika berdiri, duduk, dan sebahagian badan ketika rukuk dan sujud.
Saudara hendaklah berijtihad dalam menentukan kiblat sama ada dengan menggunakan kompas atau dengan alat-alat yang lain (termasuk theodolit). Mencari ketepatan kiblat adalah fardhu sebelum seseorang itu melakukan solat. Solat yang dilakukan tanpa menghadap kiblat yang betul dengan tanpa keuzuran adalah tidak sah dan hendaklah saudara mengulangi solat tersebut.
والله أعلم وأحكم

No comments:

Post a Comment