Tuesday, April 21, 2015

Adakah batal solat jika menelan hingus didalam hidung?

Soalan:  Assalamualaikum.
1. Adakah batal solat jika menelan hingus didalam hidung?
2. Bagaimana pula jika dalam berpuasa?
3. Adakah terbatal solat juga jika tertelan sisa makanan dalam mulut ketika solat?

Jawapan:  بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Makan dan minum ketika solat sama ada dalam jumlah yang banyak atau sedikit boleh membatalkan solat. Hal ini sekiranya dia adalah seorang yang mengetahui keharaman perkara tersebut, sengaja melakukannya, dan bukan orang berada jauh daripada komuniti Islam.
Namun, jika dia tidak sengaja melakukannya, makan dan minum tersebut pula dilakukan dengan jumlah yang sedikit, maka tidaklah ia membatalkan solat.
Tetapi jika seseorang makan atau minum dalam jumlah yang banyak walaupun ia melakukannya secara tidak sengaja, maka ia tetap membatalkan solat. Namun berbeza halnya dengan puasa, kerana makan atau minum ketika berbuasa jika dilakukan dengan sengaja sama ada dalam jumlah yang banyak atau sedikit, maka ia membatalkan puasa. Adapun jika ia tidak dilakukan dengan sengaja walaupun dalam jumlah yang banyak maka ia tidak membatalkan puasa.
Imam al-Nawawi mengatakan dalam kitabnya al-Majmu`, jilid 4 halaman 89 :
ﻭﺇﻥ ﻛﺎﻥ ﺑﻴﻦ ﺃﺳﻨﺎﻧﻪ ﺷﻲﺀ ﻓﺎﺑﺘﻠﻌﻪ ﻋﻤﺪﺍ ﺃﻭ ﻧﺰﻟﺖ ﻋﻦ ﺭﺃﺳﻪ نخاﻣﺔ ﻓﺎﺑﺘﻠﻌﻬﺎ ﻋﻤﺪﺍ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ ﺑﻼ ﺧﻼﻑ ، ﻓﺈﻥ ﺍﺑﺘﻠﻊ ﺷﻴﺌﺎ ﻣﻐﻠﻮﺑﺎ ﺑﺄﻥ ﺟﺮﻯ ﺍﻟﺮﻳﻖ ﺑﺒﺎﻗﻲ ﺍﻟﻄﻌﺎﻡ ﺑﻐﻴﺮ ﺗﻌﻤﺪ ﻣﻨﻪ ﺃﻭ ﻧﺰﻟﺖ ﺍﻟﻨﺨﺎﻣﺔ ﻭﻟﻢ ﻳﻤﻜﻨﻪ ﺇﻣﺴﺎﻛﻬﺎ ﻟﻢ ﺗﺒﻄﻞ ﺻﻼﺗﻪ ﺑﺎﻻﺗﻔﺎﻕ ، ﻭﻧﻘﻠﻪ ﺍﻟﺸﻴﺦ ﺃﺑﻮ ﺣﺎﻣﺪ ﻓﻲ ﺍﻟﺘﻌﻠﻴﻖ ﻋﻦ ﻧﺺ ﺍﻟﺸﺎﻓﻌﻲ ﻓﻲ ﻣﺴﺄﻟﺔ ﺍﻟﺮﻳﻖ ، ﻭﻧﻘﻠﻪ ﻓﻴﻬﺎ ﺃﻳﻀﺎ ﺍﻟﻘﺎﺿﻲ ﺃﺑﻮ ﺍﻟﻄﻴﺐ ﻓﻲ ﺗﻌﻠﻴﻘﻪ ﻋﻦ ﻧﺺ ﺍﻟﺸﺎﻓﻌﻲ ﻓﻲ ﺍﻟﺠﺎﻣﻊ ﺍﻟﻜﺒﻴﺮ ﻟﻠﻤﺰﻧﻲ
Yang bermaksud,
“Jika ada sesuatu dicelah-celah giginya (sisa makanan) seterusnya dia menelannya secara sengaja atau turun hingus daripada kepalanya seterusnya dia menelannya secara sengaja maka batal solatnya tanpa khilaf. Jika dia menelannya secara tidak sengaja seperti air liur yang melalukan sisa makanan tanpa disengajakan atau hingus turun daripada kepala dan dia pula tidak mampu menahannya maka tidak batal mengikut kesepakatan ulama”. Perkara ini dinukilkan oleh al-Syeikh Abu Hamid ketika membahaskan perkataan imam al-Syafie dalam persoalan air liur. Al-Qadhi Abu al-Thaiyyib juga menukilkannya ketika membahaskan perkataan imam Syafie dalam kitab al-Jamai^ al-Kabir karangan al-Muzani”.
Al-Nawawi al-Bantani menyebut di dalam kitabnya Nihayah al-Zain, Halaman 92 :
( و ) الخامس ( بمفطر ) للصوم فكل ما أبطل الصوم أبطل الصلاة وسيأتي بيانه في بابه إن شاء الله تعالى ومن ذلك ما لو كان في فمه باقي مطعوم أو مشروب فجرى به ريقه فابتلعه فإن صلاته تبطل نعم لو كان بين أسنانه طعام وعجز عن تمييزه ومجه فجرى به ريقه فنزل إلى حلقه بغير إرادته فإنه لا يضر كما في الصوم وتبطل الصلاة بأكل بضم الهمزة ولو بلا حركة ولو قليلا لشدة منافاته للصلاة لأنه يشعر بالإعراض عنها نعم لو كان ناسيا للصلاة أو جاهلا تحريمه فيها وقرب عهده بالإسلام أو نشأ بعيدا عن العلماء لا تبطل صلاته بالأكل القليل بخلاف الكثير فإنه مبطل مطلقا
Yang bermaksud,
“ Kelima, perkara yang membatalkan puasa. Setiap perkara yang membatalkan puasa, ia juga membatalkan solat. Perkara ini akan dibahaskan dalam babnya nanti insyaAllah. Antaranya, jika terdapat sisa makanan pada mulutnya atau minuman lalu air liur tersebut melalukan sisa makanan tersebut seterusnya dia menelannya maka solatnya dikira batal. Adapun jika sisa makanan tersebut ada dicelah-celah giginya dan dia tidak mampu membezakannya dan meludahkannya, lalu sisa tersebut dibawa oleh air liur sehingga turun ke halkumnya tanpa sengaja, sesungguhnya perkara tersebut tidak memudharatkan solatnya begitu juga puasanya (tidak membatalkan solat dan puasa). Dan batal hukumnya solat seseorang yang makan walaupun tanpa ada gerakan, dan meskipun sedikit jumlahnya kerana perkara tersebut menafikan solat itu sendiri. Hal ini disebabkan dia seolah olah telah memalingkan dirinya daripada solat. Ya, jika dia makan (dalam jumlah yang sedikit) kerana lupa bahawa dia sedang melakukan solat, atau kerana jahil atas keharamannya, atau dia baru sahaja memeluk Islam, atau kerana dia berada jauh daripada ulama, maka tidak terbatal solatnya dengan makan tersebut. Hal ini berbeza dengan makan dengan jumlah yang banyak sesungguhnya makan dengan jumlah yang banyak membatalkan solat secara mutlak (sama ada dalam jumlah yang banyak atau sedikit)”.
والله أعلم وأحكم

No comments:

Post a Comment